KOTA KINABALU, 19 JULAI – Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mencari mekanisme terbaik untuk menangani kenaikan harga barang, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.
Menterinya, Datuk Shahelmey Yahya berkata selain kementeriannya, jawatankuasa itu juga akan melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, dan Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah.
“Beberapa siri mesyuarat jawatankuasa telah diadakan membincangkan penyelesaian jangka pendek dan panjang, jawatankuasa setuju langkah KPDNHEP Sabah sesuai dengan situasi kini dan Kementerian Pertanian dan Perikanan negeri sentiasa memantau bekalan makanan terutama ayam dan telur mencukupi.
“Ketiadaan bekalan bahan makanan berlaku disebabkan gangguan rantaian pengeluar dan pembekal yang dipengaruhi oleh kesan COVID-19 dan pascapandemik, juga pemulihan ataupun permintaan yang mendadak kesan daripada pemulihan ekonomi yang kita alami sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) yang ingin tahu langkah diambil kerajaan negeri untuk mengatasi masalah kenaikan harga barangan keperluan yang amat membebankan rakyat. – Bernama