Sabah tumpu pertumbuhan sektor produktif utama

KOTA KINABALU, 16 APRIL – Sabah akan memberi tumpuan kepada pertumbuhan sektor-sektor produktif utama negeri iaitu perindustrian, pelancongan dan pertanian pada tahun ini untuk merancakkan lagi pembangunan ekonomi negeri.

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkata ini selaras dengan penjajaran semula yang telah dibuat oleh kerajaan negeri untuk memastikan dasar pembangunan Sabah berada di landasan yang kukuh.

Katanya lagi semasa menyampaikan ucapan dasar sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-15 di sini, hari ini, sektor perindustrian khususnya sektor pembuatan akan diberikan tumpuan sebagai pemangkin bagi menjana lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat, dan usaha yang telah dimulakan akan diteruskan sekali gus diberi penekanan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025). – Bernama