Sabah umum pakej bantuan COVID-19 fasa kedua

KOTA KINABALU, 18 JUN – Kerajaan Negeri Sabah hari ini mengumumkan peruntukan Pakej Bantuan COVID-19 fasa kedua bertemakan ‘Sabah New Deal’ bernilai RM240 juta bagi membantu mengaktifkan, memulih dan menyuburkan kembali sektor ekonomi negeri yang terjejas berikutan pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata peruntukan itu, yang merupakan kesinambungan kepada Pakej Bantuan COVID-19 Sabah fasa pertama berjumlah RM670 juta diumumkan pada 25 Mac lepas, juga bertujuan memperkasakan lagi ekonomi digital di negeri ini.

Menurutnya, keseluruhan jumlah peruntukan yang disediakan bagi bantuan COVID-19 di bawah fasa satu dan ‘Sabah New Deal’ berjumlah RM910 juta.

Beliau berkata pakej bantuan itu dirangka dengan tiga objektif utama bagi mendepani cabaran suasana ekonomi merudum dan tidak menentu sekali gus memastikan ia seiring dengan langkah ke hadapan untuk beralih kepada amalan kebiasaan baharu.

“Tiga objektif itu ialah mempercepat transformasi kepada ekonomi digital, memanfaat dan memperluaskan peluang ekonomi dalam bidang agromakanan dan memperkasakan sumber manusia serta menjana peluang pekerjaan baharu,” katanya ketika mengumumkan pakej berkenaan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini. – Bernama

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengadakan sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan bekalan perubatan kepada sekolah-sekolah negeri Sabah di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah baru-baru ini. – Bernama