Sabah umum pendirian PKPB 12 Mei ini

KOTA KINABALU, 5 MEI – Kerajaan Sabah akan mengumumkan pendirian negeri itu terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 12 Mei ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata buat masa ini, kerajaan negeri kekal dengan keputusan untuk meneruskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha membendung penularan COVID-19 di Sabah.

Mohd Shafie berkata ini bukan bermaksud Sabah tidak mahu mengikut peraturan ditetapkan kerajaan Persekutuan, namun, kerajaan negeri perlu meneliti terlebih dahulu beberapa langkah proaktif sebagai persediaan sebelum melaksanakan PKPB ke arah menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat Sabah, dalam masa sama, berupaya menggerakkan usaha memulihkan sektor ekonomi.

“Kita (kerajaan Sabah) sangat berhati-hati. Setiap sektor yang akan beroperasi (pada PKPB) ini perlu ada persediaannya terutama sektor penting termasuk makanan, pengangkutan, perkhidmatan, serta industri minyak dan gas.

“Tidak boleh katakan, hari ini diumumkan (PKPB), kita pun ikut (tanpa sebarang) persediaan. Atas sebab itu, saya melihat perkara ini perlu diteliti secara mendalam,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bekalan peralatan perubatan daripada Yayasan Osimal, di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan pelaksanaan PKPB sudah diwartakan dan semua negeri tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti diwartakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). – Bernama