KOTA KINABALU, 26 SEPT – Sabah telah menerima kedatangan 857,675 pelancong setakat Julai tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 632 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas dengan anggaran perolehan sebanyak RM1.4 bilion.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata berikutan perkembangan ini, Sabah optimis untuk menerima lebih sejuta pengunjung tahun ini.
“Peningkatan ini didorong oleh sektor pelancongan domestik yang menyumbang sebanyak 785,123 pengunjung, peningkatan 582 peratus bagi tempoh sama.
“Berikutan pembukaan semula sempadan, jumlah ketibaan pelancong antarabangsa mencatatkan pertumbuhan ketara dengan 72,552 ketibaan, meningkat 3,680 peratus bagi tujuh bulan pertama 2022,” katanya selepas hotel terbaharu The Holiday Inn Express di sini hari ini.
Ketua Menteri juga gembira apabila mengetahui bahawa sambungan udara domestik dan antarabangsa, berada dalam aliran menaik.
“Pada masa ini, terdapat 367 penerbangan domestik dengan kapasiti 60,162 tempat duduk setiap minggu ke Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Bahru, Terengganu, Labuan, Kuching, Miri, Sibu, Bintulu dan Mulu.
“Bagi sektor penerbangan antarabangsa, Sabah dihubungkan dengan lima destinasi antarabangsa iaitu Singapura, Bandar Seri Begawan (Brunei), Incheon (Korea Selatan), Manila (Filipina) dan Bangkok (Thailand) dengan 39 penerbangan seminggu dan kapasiti 7,016 tempat duduk,” katanya. – Bernama