Sabalenka buat kejutan di Terbuka Madrid

MADRID, 9 MEI – Pemain Belarus, Aryna Sabalenka mengejutkan pemain nombor satu dunia, Ashleigh Barty untuk memenangi Terbuka Madrid buat kali pertama, kelmarin.

Sabalenka ditewaskan oleh Barty di pusingan akhir di Stutggart bulan lalu tetapi berjaya membalas dendam di Caja Magica, dengan mencatatkan kemenangan 6-0, 3-6, 6-4, merangkul kejuaraan terbesar dalam kariernya.

Pemain berusia 23 tahun itu tidak pernah mara ke pusingan keempat di Grand Slam tetapi ini membuktikan dia akan menjadi antara calon utama di Terbuka Perancis, yang bakal berlangsung di Paris hujung bulan ini.

Ini merupakan kejuaraan ke-10 dalam karier Sabalenka tetapi yang pertama di gelanggang tanah liat dan ini telah melonjakkan namanya ke kedudukan keempat di ranking dunia.

Barty merupakan pemain pilihan utama menuju final, terutama setelah menundukkan Sabalenka di Stuttgart bulan lalu, juga di gelanggang tanah liat, dalam perlawanan tiga set.

Reaksi Sabalenka ketika meraikan kemenangan selepas dinobatkan juara Terbuka Madrid, baru-baru ini. – AFP

Pemain Australia itu kelihatan kembali bangkit setelah beraksi buruk di set pembukaan, selepas menyamai kedudukan di set kedua dan kemudian mendahului 4-3, 30-15 ke atas pukulan servis Sabalenka di set penentuan.

Tetapi lawannya tidak mengalah dan mempamerkan penyudah cemerlang dengan memenangi 11 mata terakhir berturut-turut untuk memberikan Barty kekalahan pertama di gelanggang tanah liat sejak 2019 di Rom.

“Sejujurnya selepas pusingan akhir di Stuttgart, saya mengalami kecederaan, saya tidak dapat bergerak dan ingin menarik diri,” Sabalenka berkata selepas perlawanan.

“Tetapi saya kembali pulih dengan baik, dalam empat hari saya merasa baik dan kini saya menjadi juara. Ia adalah minggu yang luar biasa.”

Barty akan masih menjadi calon utama di Roland Garros, di mana pemain Australia itu memenangi Grand Slam pertama pada 2019. – AFP