Sabar hadapi ujian hidup

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Agama Islam menuntut umatnya untuk memiliki sifat Mahmudah iaitu terpuji dan melarang umatnya daripada bersifat keji untuk mencapai kebahagiaan dan kejayaan dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini menjelaskan, 10 sifat Mahmudah tersebut ialah taubat, khauf (takut), zuhud, sabar, syukur, ikhlas, tawakal, mahabbah (kasih sayang), reda dan mengingat mati.

Antara sifat berkenaan, sabar merupakan antara senjata paling ampuh dalam menghadapi pelbagai ujian, musibah dan kesusahan, kerana dengan sikap sabar itu, seseorang itu tidak akan bertindak di luar batas pemikirannya.

“Menghiasi diri dengan sifat sabar adalah akhlak dan sikap orang yang mulia, di mana orang yang sentiasa bersikap sabar akan selalu berasa tenang dan tidak mudah menyerah kalah dan tidak pernah menyangkal akan segala ketentuan dan ketetapan Allah dalam menghadapi cercaan, kesusahan dan kepayahan hidup.”

Khatib seterusnya menegaskan, Allah tidak akan memberi ujian dan dugaan di luar kemampuan hambaNya, di mana kadang kala kita diuji dengan berbagai-bagai ujian sama ada ujian kesenangan mahupun kesusahan, ujian harta benda sama ada kekayaan atau kemiskinan.

“Ini sama juga ada yang diuji dengan tekanan hidup seperti tekanan sosial, emosi dan ekonomi seperti dalam hal hutang-piutang, rumah tangga, keluarga dan sebagainya,” tambahnya lagi.

Jika kita ditimpa ujian dan musibah, jelas khatib, seseorang itu tidak boleh bersangka buruk terhadap Allah dan beranggapan dirinya adalah orang yang paling mulia.

“Kita wajib bersabar kerana setiap ujian itu pasti ada hikmah di sebaliknya dan bersangka baiklah terhadap segala ketentuan dan ketetapan Allah serta berusahalah menghadapi ujian tersebut dengan mencapai jalan penyelesaian di samping berdoa, bertawakal dan lebih mendekatkan diri kepada Allah.”

Sesungguhnya ujian ini adalah untuk menguji sejauh mana kekuatan iman dan kesabaran seseorang itu dan ingatlah, ujian ini adalah satu fitrah dalam kehidupan kerana dengan ujian itulah menjadikan seseorang itu lebih dewasa, tabah, sabar dan mengenali kekuasaan serta kebesaran Allah.

Sabar itu merupakan anugerah terindah yang menjanjikan pelbagai kurnia dan ganjaran daripada Allah dan antaranya ialah mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah, mendapat keampunan dan rahmat serta petunjuk Allah dan mendapat balasan yang lebih baik daripadaNya.

Sesungguhnya orang yang beriman melihat ujian itu sebagai pintu rahmat yang mendekatkannya dengan syurga Allah, ini kerana ganjaran bagi orang yang sabar itu adalah syurga di akhirat kelak.

“Bersangka baiklah terhadap setiap ujian dan dugaan hidup kerana walaupun sabar itu pahit tetapi penghujungnya adalah indah dan manis dan ingatlah Allah akan sentiasa bersama kita sebagaimana yang dijanjikan dalam Al-Quran iaitu Allah sentiasa mengasihi dan bersama-sama orang yang sabar,” tambahnya.