Sabar ketika menghadapi ujian

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Negara Brunei Darussalam sejak kebelakangan ini tidak mencatatkan sebarang kes baharu jangkitan COVID-19 tapi pihak berkuasa tetap terus mengingatkan untuk sentiasa mengamalkan dan melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing bagi membendung penularan wabak berkenaan terutama di musim perayaan ini.

Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini menambah, disebabkan situasi wabak berkenaan yang melanda negara pada masa ini, keadaan belum mengizinkan untuk ziarah-menziarahi dan kunjung- mengunjungi seperti mana keadaan yang biasa dilakukan dalam menyambut Hari Raya sebelum ini.

Walaupun ziarah-menziarahi masih tetap boleh dilakukan dalam kalangan keluarga terdekat saja, jelas khatib, perlunya juga mengambil kira panduan yang disediakan oleh pihak yang berwajib.

“Sebagai umat Islam, kita dianjurkan untuk sentiasa memupuk sifat sabar yang mana sifat sabar adalah istana iman dan orang yang sabar itu dikasihi Allah.

“Menghiasi diri dengan sifat sabar itu adalah akhlak dan sikap orang yang mulia dan sabar juga senjata yang paling ampuh dalam menghadapi pelbagai ujian, musibah dan kesusahan,” tekan khatib.

Khatib dalam khutbahnya juga menyentuh mengenai Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada setiap 5 Jun, yang merupakan satu platform global bertujuan untuk memupuk dan meningkatkan kesedaran alam sekitar serta mendorong sokongan dan penyertaan setiap lapisan masyarakat dalam sama-sama memainkan peranan memelihara amal sekitar.

Sehubungan itu, orang ramai perlu ada rasa tanggungjawab, kesedaran dan keinginan untuk menjaga kebersihan persekitaran kerana Allah amat mencintai kepada perkara yang cantik, indah dan bersih.

Selaku rakyat dan penduduk di negara ini, tegas khatib, semua hendaklah terus melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dan membudayakan langkah pencegahan bagi mengawal dan mengurangkan lagi risiko penularan jangkitan wabak ini.

“Janganlah terlalu berasa selesa dan leka dengan pengurangan langkah-langkah sekatan yang telah dimulakan, kerana walaupun jangkitan COVID-19 di negara ini dalam keadaan terkawal tapi kita masih juga dalam ancaman wabak tersebut,” tegasnya.

Khatib seterusnya menyeru untuk sama-sama memperbanyakkan membaca doa semoga wabak ini akan segera berakhir dan semoga seluruh rakyat dan penduduk di negara mendapat rahmat dan perlindungan daripada Allah.