Sabar kunci kejayaan

TAMPARULI – Ketekunan seorang pandai besi dari Kampung Kionsom, di sini, mengusahakan pertukangan parang memberikan pendapatan lumayan hasil jualan produk keluarannya sejak menceburi perusahaan kecil itu sepenuh masa pada 1987.

Meskipun tidak memiliki pelajaran tinggi, namun, Gatin Lagadan, 68, menceburi bidang yang memerlukan kesabaran serta ketahanan diri tinggi itu berbekalkan minat mendalam dan sedikit kemahiran bagi menghasilkan parang yang mampu memikat kehendak penggemar atau pembeli.

“Saya belajar membuat parang daripada  pakar parang dari Kampung Kauluan, Tamparuli, Moris Gampalid pada 1985. Selepas memperoleh sedikit pengetahuan, saya cuba membuat sendiri dan menjual produk itu di pasar tamu Tamparuli. Pada awalnya, parang yang saya hasilkan tidak berkualiti dan kurang mendapat sambutan pembeli, menyebabkan saya terus belajar dengan Moris sehingga saya mahir sepenuhnya dalam perusahaan itu,” katanya kepada Bernama, di sini.

Perusahaan bermodalkan wang sendiri itu kini membuahkan hasil apabila Gatin mempunyai sebuah bengkel kecil di belakang rumahnya selain beliau juga berupaya menghasilkan lebih 1,000 bilah parang pelbagai saiz dan bentuk setahun.

“Hasil penjualan parang, saya mampu memperoleh pendapatan RM800 hingga RM1,000 sebulan. Peminat parang ciptaan saya pula ramai dari Tamparuli, Tuaran, Kiulu, Tenghilan, Telipok, Inanam dan Kota Kinabalu,” katanya.

Pengusaha parang, Gatin Lagadan, 68, tekun bertukang menghasilkan parang di bengkel usang terletak di belakang rumahnya di Kampung Kionsom, Tamparuli. – Bernama

Gatin membuat parang menggunakan besi terpilih terutama spring kenderaan dan produknya itu dijual di dua pasar tamu iaitu Tamparuli setiap Rabu dan Tuaran setiap Ahad dengan harga RM35 hingga RM45 sebilah, tidak termasuk sarung.

“Selain mencipta parang, saya juga mengambil upah membaiki produk sama yang rosak dengan mengenakan bayaran berpatutan RM3 hingga RM5 sebilah,” katanya.

Gatin membelanjakan RM400 untuk membeli sekurang-kurangnya 20 kilogram arang dari Sook, Keningau setiap sebulan sebagai bahan asas penting dalam pembuatan parang.

“Saya mampu menyiapkan lima bilah parang pelbagai bentuk dan saiz sehari, manakala produk yang saya hasilkan habis dijual dalam tempoh lima minggu. Bagaimanapun, saya tidak tunggu stok hasil untuk menghasilkan parang baharu,” katanya.

Beliau turut berbangga kerana hasil pendapatan membuat parang mampu menyara keluarganya, dan anak kelimanya, Willian, 35, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dari Sekolah Menengah Advent Tamparuli mula mengikut jejaknya menjadi seorang pandai besi.

Gatin percaya perusahaan membuat parang yang kurang diminati generasi muda mampu menjadi perusahaan besar jika dilakukan bersungguh-sungguh dan mendapat sokongan modal. – Bernama