Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Sabiki rig sudah terbukti paling hebat di dunia

    Oleh Raz AS

    Apabila ditanya soalan mengenai apakah jenis rig atau teknik perambut pancing untuk umpan tiruan yang paling banyak menaikkan ikan di serata dunia pancing? Mungkin sebahagian pemancing akan menyebut jenis-jenis dan teknik perambut yang sudah terbukti dan menjadi kegemaran digunakan mereka.

    Jika jawapan yang awda berikan adalah perambut tali hantu, batu hidup, Texas rig, Carolina, Jika, Tokyo, Neko dan puluhan lagi nama jenis perambut lainnya selain daripada Sabiki rig, yang juga dikenali sebagai perambut anjun atau apollo, awda salah.

    Tidak perlu diperdebatkan lagi, Sabiki rig atau anjun telah banyak membantu pemancing di serata dunia bukan sahaja untuk menangkap ikan kecil untuk dijadikan umpan sebelum aktiviti memancing sebenar dijalankan, bahkan ia juga banyak membantu mengisi periuk belanga di dapur rumah agar kita tidak sekadar makan nasi berlauk telur goreng berkuah kicap kerana ‘kumpaw’ balik dari laut.

    Tidaklah diketahui dari mana asal datangnya Sabiki rig ini, meskipun nama Sabiki adalah nama Jepun tidak bermaksud ia dicipta oleh pemancing dari Jepun. Sabiki tidak lain tidak bukan hanyalah nama jenama pembekal peralatan pancing dari Jepun yang kini dikenali sebagai Hayabusa.

    Syarikat tersebut sudah pun membekalkan perambut anjun sejak dari tahun 1960an, namun yang nyatanya Sabiki rig atau anjun memang diakui merupakan salah satu teknik terhebat yang pertama kali digunakan untuk memancing ikan kecil di Asia.

    Sabiki rig atau anjun selalunya digunakan untuk memancing ikan-ikan kecil untuk dijadikan umpan. – Agensi
    Ia berupa rangkaian fly iaitu mata kail yang diikat dengan bulu, kertas atau plastik untuk menyerupai kawanan ikan atau krustasea kecil. – Agensi
    Jika inginkan kelainan, penggunaan batu ladung juga boleh digantikan dengan jig. – Agensi

    Walaupun lebih banyak digunakan untuk menangkap ikan-ikan kecil namun Sabiki rig juga datang dalam saiz yang lebih besar, digunakan untuk menangkap ikan-ikan pemangsa yang pelbagai jenis.

    Secara amnya Sabiki rig, sama ada yang dibeli atau dibuat sendiri, adalah berupa rangkaian fly iaitu mata kail yang mempunyai bulu, kertas atau plastik untuk menyerupai kawanan ikan atau krustasea kecil yang diikat pada tali monofilament. Jumlah fly ini selalunya sebanyak lima dan boleh mencecah hingga 10 bentuk. Bahagian atas tali rangkainya akan diikat ke tali utama manakala bahagian bawahnya pula ke batu ladung.

    Keistimewaan reka bentuk Sabiki rig akan memberikan banyak peluang untuk memikat ikan berebut-rebut untuk menyambarnya jika digunakan dengan betul. Apabila salah satu daripada fly tersebut disambar ikan, ikan yang tersangkut itu bergerak seakan-akan sedang feeding frenzy dan ini akan menyebabkan kawanannya berebut-rebut menyambar ‘makanan’ lain yang tertinggal.

    Oleh itu apabila getuan dirasakan pada hujung tali, Sabiki rig jangan terus ditarik atau dihenjut kuat seperti teknik pancing lainnya. Dengan bersabar dan menunggu beberapa saat awda berkemungkinan akan berjaya menaikan tiga, empat atau mungkin sahaja fullhouse dalam satu masa.

    Cara paling senang untuk menggunakan Sabiki rig adalah untuk membiarkannya terus jatuh hingga ke dasar, kemudian digulung sedikit hingga tergantung kira-kira satu hingga dua kaki dari dasar sebelum diturun naikkan atau ‘dianjunkan’ pada kedalaman tersebut sebanyak beberapa kali, sama ada 10 atau 20 kali bergantung kemahuan awda.

    Sekiranya tidak ada getuan atau sambutan, tali digulung lagi sedikit, mungkin sebanyak tiga hingga empat kaki sebelum proses ‘menganjun’ diulang semula. Apabila getuan dikesan ingati tahap kedalaman tersebut dan cuba lagi di sana setelah ikan dinaikkan kerana di situlah kawanan ikan tersebut berada.

    Walau bagaimanapun, kadang-kadang ikan akan menyambar ketika proses pancing jatuh oleh itu pemancing perlu sentiasa peka agar tidak perlu lama mencari pada tahap ke- dalaman mana kawanan ikan itu berada.

    Meskipun Sabiki rig lebih sesuai digunakan untuk kaedah pancingan vertikal seperti dari atas bot, jambatan atau jeti, sekiranya kawasan tempat awda memancing memerlukan awda untuk melakukan lontaran, disarankan agar melakukan melontarnya secara berhati-hati kerana takut ‘bekulut’ dan lebih teruk lagi tersangkut di mana-mana terutama pada rakan sebelah atau diri sendiri.

    Untuk kaedah ini, Sabiki rig tidak seharusnya dilontar terlalu jauh kerana ia akan menyebabkannya dalam keadaan ‘tumbang’ di dasar dan flynya tidak berfungi dengan baik. Setelah dilontar, pastikan tali dalam keadaan sedikit kendur dan jentikkan (twitch) hujung joran beberapa kali untuk memberikan aksi pada fly sementara batu ladung dibiarkan tetap mencecah dasar.

    Selain itu jika inginkan kelainan, penggunaan batu ladung juga boleh digantikan dengan jig, dengan itu awda bukan sahaja berpeluang untuk menangkap ikan-ikan kecil bahkan juga ikan pemangsa yang datang menghendap ikan-ikan kecil tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...