Sabitzer sah milik Bayern

BERLIN, 31 OGOS – Bayern Munich menandatangani pemain tengah, Marcel Sabitzer dari Leipzig, kelmarin, memperkuatkan pasukan mereka sementara melemahkan pencabar terdekat mereka di Bundesliga musim lalu.

Sabitzer, 27, diberikan kontrak selama empat tahun dan akan menyarung jersi 18, menurut kenyataan dikeluarkan oleh Bayern. Sabitzer, merupakan ketua pasukan Leipzig, akan disatukan semula dengan jurulatih, Julian Nagelsmann dan pemain pertahanan, Dayot Upamecano, yang juga menyertai Bayern dari Leipzig pada musim panas.

Leipzig menamatkan kedudukan musim lalu di tangga kedua, 13 mata di belakang Bayern pada musim lalu, dan ia adalah kali ketiga kedua-dua pasukan menamatkan musim di kedudukan serupa.

Bayern dilaporkan membayar kira-kira 15 juta euro untuk mendapatkan khidmat Sabitzer, menyertai Leipzig dari Rapid Vienna pada 2014 dan segera menjadi pemain utama kelab tersebut. Dia membantu Leipzig untuk mara ke peringkat final Piala Jerman sebanyak dua kali, layak ke Liga Juara-Juara dan mengesahkan kedudukan selaku salah seorang pemain terbaik di Jerman.

Sabitzer mencetak 32 gol dalam 145 penampilan bersama Leipzig, empat gol semasa penampilan di Liga Juara-Juara dan tujuh dalam 18 penampilan di Piala Jerman. Kelab ingin melihat di kekal, tetapi Sabitzer menolak tawaran kontrak lanjutan dan akan menjadi ejen bebas pada tahun hadapan.

“Semasa masih kecil, jersi Bayern adalah kebanggaan saya,” dedah Sabitzer. “Saya menerimanya setiap kali Krismas. Saya akan berikan segalanya untuk kelab, saya mahu menang sebanyak yang mungkin dan setentunya meraih pingat.”

Sabitzer berjaya menjaringkan lapan gol dalam 54 penampilan untuk Austria. Bayern memenangi Bundesliga setiap tahun sejak 2013 dan kini memburu untuk melebarkan rekod kejuaraan ke-10 berturut-turut. – AP

Aksi Marcel Sabitzer bersama Leipzig pada musim lalu. Dilaporkan Bayern bersetuju untuk membayar 15 juta euro untuk mendapatkan khidmat Sabitzer. – AP