Sabung ayam, 17 ditahan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Kegiatan sabung ayam di Kampung Guayan, Mukim Ukong di Daerah Tutong dipatahkan baru-baru ini dengan 17 orang lelaki tempatan dan penduduk tetap berusia antara 27 sehingga 69 tahun ditahan, manakala wang tunai berjumlah $1,217 dipercayai wang taruhan, dirampas pada serbuan itu.

Serbuan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pada 3 Mac lalu merupakan hasil maklumat dan risikan melalui Daerah Polis Tutong, menurut

Pemangku Timbalan Penguasa Polis Pengiran Abdul Aziz bin Pengiran Haji Muhammad yang juga pemangku pegawai pemerintah Daerah Polis Tutong pada sidang media yang berlangsung di Balai Polis Tutong kelmarin. Menurutnya lagi, serbuan itu turut merampas beberapa lagi barang bukti dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, kesemua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 20 Jun bagi menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 4 (a) Akta Rumah Perjudian Terbuka Penggal 28, iaitu menjadi pemilik atau penghuni atau menggunakan secara sementara atau sebaliknya menguruskan atau menggunakan sebuah tempat sebagai rumah perjudian terbuka dan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 6 (1)
Penggal sama iaitu sesiapa juga bermain dalam sebuah rumah perjudian terbuka adalah bersalah.

Mereka berhadapan hukuman denda sehingga $2,500 dan penjara enam bulan jika sabit kesalahan.

Kesemua suspek bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan kes ditangguhkan sehingga 4 Julai. Suspek dilepaskan oleh mahkamah dengan ikat jamin sebanyak $2,000 atau seorang penjamin dan jika gagal membayar, suspek akan direman di Penjara Jerudong.

Sehubungan itu, PPDB menyeru orang ramai terus menyalurkan maklumat bagi sebarang kegiatan jenayah melalui talian 993 atau ke balai-balai polis berdekatan.

Antara barangan bukti yang dirampas dalam serbuan berkenaan. – Gambar serahan PPDB