Monday, March 27, 2023
21.7 C
Brunei

-

Sabut kelapa jadi pendapatan sampingan

Gambar Bernama

GUA MUSANG – Bermula dengan menjual santan kelapa, seorang lelaki berfikir di luar kotak dengan menjadikan sabut kelapa yang merupakan bahan buangan daripada penghasilan santan tersebut, sebagai cabang pendapatan tambahan semenjak dua tahun lepas.

Mohd Amir, 34, dari Kampung Kolam Mas berkata dia tidak menyangka keputusan membeli dua buah mesin memproses sabut kelapa, menggunakan duit hasil jualan santan yang dijalankan enam tahun lalu membuahkan hasil yang lumayan.

Usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) itu berkata, sabut kelapa yang diprosesnya atau dikenali sebagai kokopit mendapat permintaan yang tinggi bukan sahaja di kawasan sekitar, malah dia turut mempunyai pelanggan dari negeri lain.

“Idea untuk menghasilkan kokopit ini timbul setelah saya melihatkan terlampau banyak sabut kelapa di tempat pemprosesan santan, kebiasaanya lebihan ini saya dan pekerja akan membakarnya sedikit demi sedikit, atau memberikan kepada sesiapa yang datang meminta.

“Tetapi setelah timbunannya masih lagi menggunung tinggi, saya akhirnya memutuskan untuk cuba terjun ke bidang menghasilkan kokopit pula,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di bengkel pemprosesan di Kampung Kolam Mas, di sini.

Kokopit dalam bentuk serat atau fiber yang dihasilkan setelah melalui proses pengasingan menggunakan mesin penapis di bengkel milik Mohd Amir Ibrahim.
Mohd Amir Ibrahim bersama dua pekerja menunjukkan hasil kokopit.
Lambakan sabut hasil kopekan kelapa bagi perusahaan santan.

Mohd Amir berkata dia dibantu empat pekerja, menggunakan mesin pengisar dan mesin penapis sabut yang dibeli dengan harga RM30,000 untuk menghasilkan kokopit.

Beliau berkata dia dapat menjana hampir RM8,000 sebulan, hasil penjualan kokopit berkenaan.

“Purata penghasilan dalam sebulan melebihi 1,000 guni, memandangkan saya dan empat pekerja biasanya menghasilkan antara 100 sehingga 150 guni setiap hari. Saya menjualnya pada harga RM8 untuk setiap guni,” katanya.

Pekerja Muhammad Nur Fikri Mat Alias, 32, berkata setiap hari mereka menghasilkan dua jenis produk iaitu kokopit dalam bentuk serat dan serbuk.

“Setiap hari kami akan mengasingkan serta membungkus 10 kilogram (kg) kokopit jenis serat atau fiber, dan 20 hingga 30kg untuk kokopit jenis serbuk, ke dalam setiap guni.

“Untuk bentuk fiber biasanya ia digunakan dalam industri pembuatan tali, guni dan kusyen kereta, manakala yang serbuk pula digunakan secara meluas dalam sektor pertanian khususnya tanaman menggunakan kaedah fertigasi,” katanya.

Tambah Muhammad Nur Fikri, rata-rata pelanggan akan datang mengambil guni-guni tersebut selepas proses membungkus selesai, malah ada kalanya mereka sendiri akan menghantar ke kawasan yang mendapat pesanan. – Bernama

Artikel sebelum iniLapan maut ditembak di Jerman
Artikel seterusnyaBantu tingkat taraf hidup
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Menteri luar NZ luah kerisauan terhadap china

BEIJING, 26 MAC - Menteri Luar New Zealand, Nanaia Mahuta telah menyatakan kebimbangan kepada China mengenai sebarang peruntukan bantuan mematikan untuk menyokong Rusia dalam...
- Advertisment -