LIVERPOOL, 12 Feb – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp percaya setiap pasukan di dunia ini akan menderita tanpa Sadio Mane selepas bintang Senegal itu kembali dengan dua jaringan dalam kemenangan Liverpool 2-0 ke atas Tottenham dalam saingan Liga Perdana, awal pagi tadi.
Mane yang kembali daripada tugasan antarabangsa selama sebulan pada kempen Piala Negara-Negara Afrika menjaringkan dua gol di babak pertama sekali gus membantu The Reds meraih kemenangan sulung untuk tahun 2017.
“Kamu memerlukan seseorang yang mampu menjaringkan gol dan dia melaksanakan tugasnya dengan menakjubkan. Dia sebenarnya mampu menjaringkan gol ketiga.
“Kami merindui kelibat Sadio sepanjang Januari tetapi semua pasukan di dunia pasti akan merinduinya,” kata Klopp selepas tamat perlawanan.
Mane menjaringkan dua gol pada minit ke-16 dan 18 dengan anak buah Klopp menamatkan rekod tanpa kalah Spurs dalam sembilan perlawanan.
Klopp kini berharap cuti selama 16 hari mampu membuatkan pasukannya memperbaiki aksi hambar mereka pada awal saingan 2017 biarpun dia enggan bercakap mengenai kemungkinan anak buahnya berpeluang mengejar pendahulu, Chelsea yang memiliki kelebihan 10 mata.
Ia adalah tugas mustahil buat The Reds bagi memintas kedudukan Chelsea di bawah bimbingan Antonio Conte dan Klopp mahu pemainnya menggunakan masa yang ada untuk memperbaiki kelemahan terutama selepas tersingkir daripada saingan Piala FA.
“Apa yang kamu akan katakan mengenai saya jika saya mengatakan kami mampu mengejar mereka? Mungkin kamu boleh bayangkan tetapi saya tidak berminat untuk bercakap soal itu buat masa sekarang.
“Kami baru saja mencatat kemenangan sulung untuk tahun 2017 dan kami tidak mahu terburu-buru bercakap mengenai baki perlawanan selepas ini. Biarlah kami fokus satu demi satu.
“Chelsea tidak kelihatan seperti mereka sedang bergelut dan jika seseorang mengejar mereka, saya tidak pasti sama ada kami akan turut berada di sana. Namun, jika mereka bergelut, ada seseorang di sana dan kami hanya akan cuba mengutip seberapa banyak mata yang boleh,” kata Klopp. – AFP