SAFA sedia jika Liga-M ditangguh

KOTA KINABALU, 20 APRIL – Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) sedia menerima apa jua keputusan yang dibuat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung kempen Liga Malaysia musim ini, termasuk jika saingan liga itu ditangguh sehingga tahun depan.

Presidennya, Datuk Peter Anthony berkata pihaknya akan akur dengan segala keputusan FAM dan MFL, selaku badan pentadbir Liga-M, demi keselamatan pemain dan pegawai pasukan yang bersaing dalam liga berkenaan susulan penularan wabak COVID-19 di negara ini.

“Kami akan akur dengan sebarang keputusan terutama saranan daripada Kementerian Kesihatan, selain FAM dan MFL sama ada saingan ini (Liga-M) diteruskan atau ditunda ke tahun depan. Saingan musim ini masih berbaki lebih setengah tahun, tetapi di peringkat SAFA, kami akur dengan apa pun keputusan nanti,” katanya. – Bernama