Safawi layak berhijrah ke Eropah

KUALA LUMPUR, 26 OGOS – Pemain sayap skuad kebangsaan dan tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhammad Safawi Rasid, layak beraksi di pentas liga utama Eropah, kata bekas ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara Datuk Ong Kim Swee.

Kim Swee berkata, pemain yang dinobatkan Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 dan 2019 itu, memiliki standard serta kemampuan mengembangkan bakatnya ke peringkat lebih tinggi.

Jelasnya, pengalaman luas Muhammad Safawi di pentas antarabangsa serta kemahiran individu yang dimilikinya, akan membantu beliau mengharungi segala cabaran dan tekanan dalam bersaing mencipta nama tersendiri di Eropah.

“Sebelum ini lagi beliau telah dikaitkan dengan beberapa tawaran dari luar negara dan sememangnya beliau layak menerimanya, dengan pengalaman luas bersama JDT dan skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa, beliau telah bersedia untuk cabaran baharu.

“Beliau memiliki kemampuan untuk bersaing dengan sesiapa sahaja kerana keyakinan yang ada pada beliau, selain sikap tidak cepat berputus asa. Teknik dan kemampuan fizikal beliau pula kita tahu antara yang terbaik di Asia, jadi soal mampu atau tidak itu bukan lagi persoalannya,” katanya kepada Bernama. – Bernama