‘Safawi tidak akan patah semangat’

KUALA LUMPUR, 23 DIS – Kepulangan lebih awal bintang bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhammad Safawi Rasid yang dipinjamkan ke kelab profesional Portugal, Portimonense SC perlu dilihat daripada sudut positif, kata pengendali skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe.

Mengambil maklum mengenai kecaman dilontarkan segelintir peminat, Cheng Hoe secara peribadi mengakui perkembangan itu mempunyai lebih banyak nilai positif daripada negatif terutama daripada sudut pembangunan prestasi pemain sayap berusia 23 tahun itu.

Meskipun hanya tiga bulan di bumi Portugal, Cheng Hoe optimis Muhammad Safawi pasti tampil lebih yakin dalam corak permainannya setelah menimba pengalaman berharga berlatih bersama pasukan yang bersaing pada liga antara terbaik di Eropah itu.

“Walaupun tiga bulan, beliau (Muhammad Safawi) dapat pengalaman berlatih dan bermain bersama pemain terbaik kelab tersebut. Pengalaman itu boleh menjadi panduan kepada beliau untuk bermain lebih baik selain ia dapat dikongsikan bersama rakan seperjuangan di kelab mahupun pasukan negara.

“Sedikit sebanyak tahap keyakinannya juga pasti meningkat. Kita (barisan jurulatih) memang tunggu dan nak lihat apa dipelajarinya di sana yang mungkin boleh beri impak kepada skuad kebangsaan, jadi sebagai jurulatih saya lebih pandang yang positif,” katanya kepada Bernama. Minggu lepas, pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan Muhammad Safawi yang dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 dan 2019 sah akan kembali me-nyertai skuad Harimau Selatan bagi mengharungi musim 2021. – Bernama