Safee Sali bersedia dipanggil skuad Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 11 MEI – Bekas penyerang prolifik Malaysia dan pemenang kasut emas Piala AFF 2010, Mohd Safee Sali sesekali tidak pernah padam keinginannya untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya.

Penyerang pasukan PJ City FC itu menafikan beliau kini berada di penghujung kariernya dan menegaskan beliau sedia dipanggil semula untuk membantu menguatkan jentera serangan pasukan Malaysia yang kini dalam misi untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

“Saya pernah cakap mengenai perkara ini dan ia masih sama. Keinginan itu masih ada kerana saya masih lagi bermain dan saya masih aktif dalam karier. Saya juga tidak pernah menyatakan untuk memadam hasrat daripada bermain untuk skuad kebangsaan.

“Selagi saya bermain, selagi saya masih boleh menyumbangkan sesuatu dalam permainan bola sepak untuk negara, saya sedia untuk dipanggil jika diberi peluang,” katanya kepada Bernama.

Penampilan terakhir Mohd Safee bersama skuad Malaysia adalah ketika Malaysia mencatat keputusan seri 0-0 berdepan Filipina dalam aksi persahabatan pada Mac 2017.

Mohd Safee yang pernah beraksi bersama beberapa kelab antaranya Selangor, Petita Jaya FC (Indonesia), Johor Darul Ta’zim (JDT) dan PKNS FC telah mencetak 23 gol sepanjang 79 penampilannya bersama skuad kebangsaan.

Dengan pengalaman luas dimiliki, beliau optimis mampu menyumbang sesuatu terutama di posisi penyerang utama skuad Malaysia.- Bernama