RIO DE JANEIRO, 11 Ogos – Neymar akan kembali menyertai pasukan Brazil bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Ecuador dan Colombia dalam penampilan antarabangsa pertama sejak berpindah dengan rekod dunia dari Barcelona ke Paris Saint-Germain (PSG), menurut jurulatih kebangsaan Tite, hari ini.
Direhatkan untuk perlawanan persahabatan pada bulan Jun ketika tewas 1-0 kepada Argentina dan membenam Australia 4-0, penyerang berusia 25 tahun itu akan berada bersama tiga rakan sepasukannya di PSG iaitu Marquinhos, Thiago Silva dan Daniel Alves.
Tite berkata drama menyelubungi perpindahan Neymar ‘langsung tidak mengubah apa-apa’ dalam pasukan Brazil.
“Neymar mencari cabaran baru tetapi apa yang penting ialah dia gembira bermain bola sepak, dia menyesuaikan diri dengan baik dan berubah ke tahap baru,” kata Tite.
Jurulatih itu berkata Barcelona dan PSG ‘memiliki formasi taktikal yang sama 4-3-3.’
Selepas beberapa tahun yang sukar, Brazil kembali ke tahap terbaik, menewaskan Jerman daripada kedudukan teratas ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Mac dan menjadi negara pertama layak ke Piala Dunia 2018. – AFP