Sagan pamer keazaman

COLMAR, 11 JULAI – Peter Sagan dari Slovakia menyimpan tenaga secukupnya semasa pendakian Alsace untuk memenangi perlumbaan peringkat kelima Tour de France.

Julian Alaphilippe dari Perancis masih mengekalkan jersi pendahulu warna kuning bahkan nyaris memenangi peringkat ketika memecut selepas pendakian terakhir.

Alaphilippe, yang disorak di sepanjang laluan oleh para penyokong Perancis, akan memulakan perlumbaan sebagai pendahulu esok dalam ujian pendakian sebenar, yang berakhir dengan penamat sukar di puncak Vosges.

“Kaki ini membunuh saya. Esok akan menjadi ujian paling besar, untuk diri saya dan semua orang,” kata Alaphilippe, yang meraih status pendahulu keseluruhan dengan pecutan 15 kilometer Isnin lalu.

“Ia juga sukar untuk bercakap dengan media selepas satu perlumbaan, yang membuatkan saya menghormati orang seperti Chris Froome,” kata bekas anggota tentera berusia 27 tahun itu mengenai pemenang empat kali Tour, yang meluangkan 59 peringkat dengan jersi kuning, namun tidak bersaing kali ini selepas patah kaki pada Jun.

Kemenangan Sagan akan menjadi popular dalam kalangan penyokong susulan kempunan dalam dua peringkat setakat ini buat juara dunia tiga kali dan pemenang jersi hijau sebanyak enam kali itu.

“Saya terus mencuba setiap hari dan ada satu hari anda akan meraihnya,” kata Sagan, yang mengalami permulaan perlahan musim ini disebabkan sakit. “Saya bergelut sedikit semasa pendakian. Tetapi saya perlu bersabar. Saya mempunyai kelebihan 47 mata bagi perebutan jersi hijau ketika ini.”

Sagan mula memecut dari jarak 150 meter bagi menewaskan Wout van Aert dari Jumbo Visma. – AFP

Sagan meraikan kemenangannya selepas melintasi garisan penamat pada peringkat kelima Tour de France. – AP