Sah komited basmi nuklear

SINGAPURA, 12 Jun – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un hari ini mengesahkan semula komitmen beliau yang tegas dan utuh bagi membasmi sepenuhnya penggunaan senjata nuklear di Semenanjung Korea.

Perkara itu serta petunjuk lain telah digariskan dalam kenyataan bersama yang ditandatangani oleh Kim dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump susulan pertemuan bersejarah mereka di sini.

Pengamal media yang berkumpul di Pusat Media Antarabangsa berjaya merakam foto kenyataan bersama itu ketika Trump mengangkatnya dalam sesi bergambar selepas pertemuan tersebut.

Sementara itu, Trump dalam kenyataan tersebut menyatakan beliau komited untuk “memberikan jaminan keselamatan kepada Korea Utara.”

“Yakin bahawa kewujudan hubungan baharu AS-Korea Utara akan menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran Semenanjung Korea serta dunia, selain mengakui bahawa pembinaan keyakinan bersama boleh menggalakkan pembasmian senjata nuklear di Semenanjung Korea, kedua-dua pemimpin dengan ini menyatakan seperti berikut:

Pemimpin Korea Utara, kim Jong Un (kanan) berjalan bersama Presiden AS, Donald Trump semasa berehat daripada sidang kemuncak bersejarah antara AS-Korea Utara, di Hotel Capella di pulau Sentosa, Singapura, kelmarin. – AFP

– Kedua-dua negara “komited untuk mewujudkan hubungan baharu AS-Korea Utara sesuai dengan hasrat rakyat kedua-dua negara untuk mencapai keamanan dan kemakmuran.”

– AS-Korea Utara “akan bekerjasama dalam usaha membina rejim keamanan yang stabil dan berkekalan di Semenanjung Korea.”

– “Mengesahkan semula Deklarasi Panmunjom bertarikh 27 April 2018; Korea Utara komited untuk berusaha ke arah pembasmian sepenuhnya senjata nuklear di Semenanjung Korea.

– AS-Korea Utara komited untuk mendapatkan semula jasad tentera yang menjadi tawanan perang (POW) atau hilang ketika bertugas (MIA), termasuk penghantaran pulang jasad yang telah dikenal pasti.

Mengakui bahawa Sidang Kemuncak itu yang pertama dalam sejarah itu, merupakan satu acara penting dan signifikan dalam mengatasi ketegangan dan permusuhan sejak berdekad antara kedua-dua negara ke arah masa depan baharu, Trump dan Kim turut memberi komitmen untuk melaksanakan ketetapan dalam kenyataan bersama itu “sepenuhnya dan dengan secepat mungkin.”

Kedua-dua negara turut komited untuk mengadakan rundingan susulan, diketuai oleh Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo dan pegawai tinggi Korea Utara yang relevan, ‘secepat mungkin untuk melaksanakan hasil Sidang Kemuncak itu’.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin komited untuk bekerjasama ke arah pembangunan hubungan baharu serta mempromosi keamanan, kemakmuran dan keselamatan di Semenanjung Korea serta dunia.

Terdahulu sebelum mesyuarat bermula, kedua-dua pemimpin itu dilihat berjabat tangan di Hotel Capella di Pulau Sentosa sebelum mesyuarat bermula.

Acara bersejarah itu telah disiarkan secara langsung oleh hos penyiar Mediacorp. Kedua-dua pemimpin juga saling menyapa dan mengungkapkan kata-kata seperti berikut:

“Saya rasa amat hebat, kita akan mengadakan perbincangan yang hebat. Saya rasa kita akan mencapai kejayaan yang betul-betul hebat. Ia bakal menjadi kejayaan yang betul-betul hebat… ia merupakan satu penghormatan buat saya dan tak syak lagi, kita akan mempunyai satu hubungan yang begitu hebat,” kata Trump.

“Sememangnya bukan mudah untuk sampai ke tahap ini. Masa yang lalu membelenggu kita dan prasangka lama serta amalan lampau menjadi halangan untuk kita bergerak ke hadapan, namun kita telah berjaya mengatasi kesemuanya dan kini kita berada di sini,” kata Kim menerusi seorang jurubahasa. – Bernama