Sahabat 480 kucing, 12 anjing

MUSCAT, 25 NOV – Puluhan kucing dan anjing bersaing merebut perhatian Maryam al-Balushi ketika beliau memberikan makanan di atas katil di rumahnya di ibu negara Oman Muscat.

Meskipun menerima aduan daripada jiran dan perbelanjaan yang meningkat, beliau telah mengumpul 480 ekor ku-cing dan 12 anjing, menyifatkan haiwan peliharaannya sebagai pembawa keceriaan dan teman lebih baik berbanding manusia.

“Saya dapati haiwan, terutamanya kucing dan anjing, adalah lebih setia berbanding manusia,” kata beliau tatkala seekor kucing melompat sambil mencakar tiang berhampiran.

Kehilangan kedua ibu bapanya pada usia muda, Balushi telah menambah kumpulan haiwan kurungannya sejak satu dekad lalu, kebanyakannya diselamatkan dari jalan raya. Balushi membelanja kira-kira AS$7,800 sebulan untuk menjaga haiwan berkenaan, 17 di antaranya buta, memberi makan dan membersihkan haiwan itu serta membawanya ke doktor haiwan untuk rawatan.

Rumahnya kini dipenuhi dengan kurungan haiwan, dengan Balushi membenarkan ia keluar untuk bermain secara bergilir-gilir. Beliau berkata koleksi kucing dan anjingnya membantu mengatasi depresi serta membantunya mendapat pengikut yang ramai dalam Instagram. – AFP

Maryam Al Balushi memberi makan kepada haiwan peliharaan di rumahnya di ibu negara Oman, Muscat. – AFP