Sahabat misteri

“ITU bukan adik-beradik awak ke?” Midah bertanya setelah ternampak seorang lelaki di belakang Fiz. Lelaki itu duduk bertinggung di belakang Fiz. “Saya sorang je kat rumah ni Mia. Kawan-kawan saya semua keluar.”

“Tak, bukan kawan-kawan awak tapi yang bertinggung kat belakang awak tu. Adik-beradik awak ke?”

Fiz tergamam. Dia teragak-agak untuk melihat apa yang ada di belakangnya ketika itu. Jam sudah menunjukkan pukul 10 malam dan rakan-rakannya masih belum pulang. “Saya anak tunggal…” Jawapan Fiz memeranjatkan Midah. Anak tunggal? Tapi lelaki itu seiras wajah Fiz! Bulu romanya meremang. “Tapi dia masih ada kat belakang awak,” bisik Midah melalui mikrofon yang disambungkan ke laptop. Ketakutan dirasakan semakin menular di dalam dirinya. Semakin lama semakin aneh rupa lelaki yang menyerupai Fiz itu.

Fiz menelan liur. Dia tiada keberanian untuk berpaling. Visualnya di dalam webcam diperhati lama tetapi lelaki yang dikatakan Midah langsung tidak kelihatan. Dia tahu itu bukan manusia. “Mia, nanti kita sambung chat balik,” ujar Fiz lalu terus mematikan Skype. Dia sudah tidak mempunyai kekuatan untuk meneruskan chat itu. Midah menelan liur. Apa yang dia saksikan itu? Bukan manusiakah?

Seminggu sebelum itu

Tika, Ain dan Midah sedang enak menikmati makan malam di dapur. Ayam goreng dikunyah penuh selera bersama nasi putih. Semuanya dibeli dari kedai makan di hujung simpang.

“Aku nampak kau kuat berskype dengan seseorang sekarang?” Tika bertanya sambil tersenyum penuh minat. Yelah, kiranya setiap malam Midah chatting dengan seseorang. Sejak kebelakangan ini, wajah Midah berseri-seri seperti orang yang sedang dilamun cinta.

Midah hampir tercekik. Cepat-cepat dia meneguk air sirap. Nasi terasa perit menuruni anak tekak. “Boyfriend ke?” tebak Ain pula. “Mengarut la kau ni Sal. Mana aku ada boyfriend,” Midah berdalih. Dia menyambung makannya yang tergendala sebentar tadi.

Tika dan Ain berbalas pandangan dan tersenyum. Nampak sangat Midah tidak mahu berterus-terang. Tidak mengapa, segalanya pasti akan terbongkar nanti. “Lelaki tu nama dia Fiz,” ujar Midah secara tiba-tiba. Mata Tika dan Ain serta-merta membulat. Mereka benar-benar berminat mahu tahu. “Dah dua minggu aku kenal dengan dia,” Tika dan Ain mengangguk-angguk. Nasi sudah tidak berusik. Cerita Midah lebih menarik perhatian mereka. “Macam mana kau boleh kenal dia?” Tika tidak sabar. “Dia tiba-tiba tegur aku. Aku pun tak pasti dari mana dia dapat ID aku.” “Boleh percaya ke?” Ain mulai ragu-ragu. Iyalah, manusia zaman sekarang ni bukan boleh dipercayai sangat. Ada saja yang cuba mengambil kesempatan.

Midah menjongket bahu. “Entahlah. Tapi aku rasa dia baik. Banyak bagi aku nasihat.” Tika dan Ain tersenyum penuh makna. “Sah kau dilamun cinta ni Mia!” usik Ain. Lalu tawa keduanya berderai. Midah mencebik.

“Hari ni kat ofis saya asyik teringatkan awak tau hehe,” tersenyum Midah membaca mesej skype yang ditulis Fiz. Sejujurnya dia juga merindui lelaki ini. Rindu mahu berchatting dengannya. Siang hari mereka berdua sibuk dengan kerja masing-masing. Cuma malam saja mereka berpeluang berbalas mesej seperti sekarang. “Tadi kawan-kawan saya tanya pasal awak. Dorang ingat awak boyfriend saya.”

“Saya bukan boyfriend awak eh?”

Terbakar kulit pipi Midah apabila ditanya begitu. Fiz memang pandai membuatnya malu. Dia menekup muka dengan tangan. “Entah.” Ringkas jawapan Midah. Fiz memasang webcam dan Midah dapat melihat dengan jelas betapa manisnya rupa paras lelaki ini. Kemudian Midah turut memasang webcam. Keduanya tersenyum-senyum di hadapan laptop. “Saya ada kawan-kawan yang single. Nak saya kenalkan pada kawan-kawan awak? Kawan awak ada berapa orang?” tanya Fiz ikhlas. “Dua orang.”

“Ha cantik sangat dah hehe. Dorang single tak?” Fiz bertanya lagi. “Single…”

Fiz tergelak. Seronok betul dia. Mungkin rakan-rakannya jodoh rakan-rakan Midah? “Kawan-kawan awak ada ID skype tak?”

“Tak. Dorang tak reti sangat nak berskype ni hehehe,” Fiz menepuk dahi. Nampaknya dia akan kenalkan mereka dengan menggunakan plan b. Dia dan Midah bersetuju untuk berkomunikasi melalui webcam sambil ditemani rakan-rakan mereka. Bila sampai masa mereka akan berjumpa. Siapa tahu mungkin hubungan mereka akan berakhir hingga ke jinjang pelamin?

Malam esoknya Midah mengajak Tika dan Ain menyertainya di hadapan webcam. Fiz sudah menunggu bersama Hanif dan Haris. “Hai….” Hanif dan Haris menyapa sambil melambai-lambaikan tangan. Tika dan Ain tersipu-sipu. “Hai…” keduanya membalas perlahan. “Ni lah kawan-kawan saya. Kenalkan ni Hanif dan ni Haris. Handsome kan?” Fiz bergurau. Ia berjaya membuahkan senyuman di bibir para gadis itu.

“Kawan-kawan awak nama apa? Kenalkanlah…” Haris bertanya nakal. Manis-manis sungguh rakan-rakan Midah. Tidak sia-sia dia dan Hanif menyertai sesi ‘mencari jodoh’ pada malam itu. “Ni Tika dan ni Ain…” Midah memperkenalkan. “Ain? Klasiknya nama awak. Sedap nama tu…” Hanif tersengih. Dia memang berkenan dengan gadis bernama Ain ini. Biarlah dia yang menjadi P.Ramleenya.

Sesi berkenalan berjalan lancar selama 30 minit sehingga ada sesuatu yang aneh mengganggu konsentrasi Tika. “Apa tu?” Tika menyoal sambil menghalakan telunjuknya ke webcam. “Kenapa?” Lelaki-lelaki itu bertanya serentak. Dari cara Tika bertanya seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena. “Saya nampak ada benda berdiri kat hujung sofa.”

Jawapan Tika memeranjatkan mereka. Ain dan Midah sudah meremang satu badan. Entah apalah yang dilihat Tika. “Benda? Orang?” Hanif bertanya. Sesekali dia merenung hujung sofa. Tiada apapun di situ. “Entahlah tak pasti..”

Perbualan ditamatkan di situ. Midah dan Ain menghadap Tika. Mereka berdua memaksa Tika menceritakan hal yang sebenar. Tentang apa yang dilihatnya tadi. Seram pula mereka. “Aku nampak benda hitam berdiri kat hujung sofa. Tak nampak muka.” “Besar ke?” Ain bertanya. “Tinggi jugak. Macam mencangkung pun ada…” Ain dan Midah menelan liur. Okey, itu memang seram!

Dua malam selepas kejadian itu, Fiz menceritakan bagaimana dia dan rakan-rakannya diganggu dengan bunyi-bunyi pelik. Sudah dua malam lena mereka terganggu. Mereka juga tidak tahu apa yang sedang berlaku. “Entah-entah benda hitam yang Tika nampak yang ganggu korang tak?” Midah cuba meneka.

Fiz menjongket bahu. Sesungguhnya dia juga tidak tahu. “Jangan lupa baca ayat suci banyak-banyak…” pesan Midah. Risau pula dia. “Okey, awak janganlah risau ye?” balas Fiz sambil mengukir senyuman manis. Kebimbangan gadis itu berkurangan sedikit setelah melihat senyuman di wajah Fiz.

Malam seterusnya, sesi skype sekali lagi disertai rakan-rakan mereka. Seperti biasa Hanif dan Haris suka mengusik Ain dan Tika dengan lawak jenaka mereka. “Geng….” Ain tiba-tiba mencuit lengan Midah dan Tika. Mukanya pucat. “Kenapa dengan kau ni?” Midah panik. Tika juga begitu.

“Kenapa tu?” Fiz bertanya bimbang. Ain berbisik sesuatu ke telinga Midah. Mata Midah terbeliak. Dadanya berdebar-debar. Tika terpinga-pinga. “Sal nampak muka kat tingkap. Kau nampak tak?” Midah berbisik ke telinga Tika.

Tika merenung tepat ke webcam dan dapat melihat apa yang dilihat Ain. Ada wajah putih kebiruan yang melekap di tingkap kaca di belakang lelaki-lelaki itu. Wajah itu seolah-olah sedang tidur. “Mia, kenapa ni?” Fiz mendesak. Hairan melihat reaksi Midah dan rakan-rakannya. “Takde apa-apa. Cuma ada masalah sikit. Malam esok kita sambung ya?”

Seperti yang dijanjikan, Fiz dan Midah berhubung melalui skype pada malam esoknya. Kali ini tiada rakan-rakan yang menemani. Cuma mereka berdua sahaja. “Kenapa dengan Sal malam semalam?” Fiz mahu tahu kisah yang sebenarnya. Serba salah pula Midah mahu berterus-terang. Khuatir akan lebih menakutkan Fiz dan kawan-kawannya pula. Sudahlah selepas Tika melihat benda hitam itu, lena Fiz dan kawan-kawannya terjejas teruk.

Belum sempat Midah bercerita…

“Tu adik-beradik awak ke?” Midah bertanya setelah ternampak seorang lelaki di belakang Fiz. Lelaki itu duduk bertinggung di belakang Fiz. “Saya sorang je kat rumah ni Mia. Kawan-kawan saya semua keluar.”

“Tak, bukan kawan-kawan awak tapi yang bertinggung kat belakang awak tu. Adik-beradik awak ke?”

Fiz tergamam. Dia teragak-agak untuk melihat apa yang ada di belakangnya ketika. Jam sudah menunjukkan pukul 10 malam dan rakan-rakannya masih belum pulang! “Saya anak tunggal.” Jawapan Fiz memeranjatkan Midah. Anak tunggal? Tapi lelaki itu seiras wajah Fiz! Bulu romanya meremang. “Tapi dia masih ada kat belakang awak…” bisik Midah melalui mikrofon yang disambungkan ke laptop. Ketakutan dirasakan semakin menular di dalam dirinya. Semakin lama semakin aneh rupa lelaki yang menyerupai Fiz itu.

Fiz menelan liur. Dia tiada keberanian untuk berpaling. Visualnya di dalam webcam diperhati lama tetapi lelaki yang dikatakan Midah langsung tidak kelihatan. Dia tahu itu bukan manusia. “Mia, nanti kita sambung chat balik…” ujar Fiz lalu terus mematikan Skype. Dia sudah tidak mempunyai kekuatan untuk meneruskan chat itu. Midah menelan liur. Apa yang dia saksikan itu? Bukan manusiakah?

Midah memandang ke kiri dan kanan. Ada suara parau yang menyeru namanya beberapa saat yang lepas. Dia terus mematikan laptop dan bersedia untuk tidur. Berdiri habis bulu romanya.

Tersentak

“Sebenarnya rumah sewa yang kami duduk ni ada sejarah hitam.” Midah, Tika dan Ain membesarkan mata. Kening mereka bergerak-gerak. Akhirnya Fiz terpaksa berterus-terang. Kasihan pula mereka asyik ternampak benda yang pelik-pelik. Sejujurnya sebelum ini mereka tidak pernah diganggu sehingga selepas Tika ternampak benda hitam di hujung sofa. “Kita bertukar cerita esok. Seram pulak nak cerita malam-malam macam ni..” Fiz tersenyum pahit. “Okey, kita jumpa esok..”

Midah, Tika dan Ain beriringan keluar dari kereta. Mereka sudah sampai ke satu kawasan perumahan. Fiz dan rakan-rakannya akan bertemu mereka di situ.

Pak Mat yang kebetulan berada di situ menyapa gadis-gadis yang sedang berdiri menghadap ke rumah yang terbakar beberapa bulan lepas.

“Rumah ni terbakar empat bulan lepas… Pakcik ingat lagi macam mana arwah-arwah menjerit mintak tolong tapi kami tak dapat buat apa-apa. Api menjulang tinggi, sekejap je rumah ni kena jilat api..”

Midah, Ain dan Tika mengangguk-angguk. Menarik juga cerita pakcik ini. Mesti dia pernah berada di sini ketika kebakaran tersebut berlaku. “Semoga roh-roh arwah Fiz, Hanif dan Haris tenang di sana….” Sambung orang tua itu lagi. Ketiga-tiganya tersentak. Mata mereka terbeliak. Peluh dingin laju mengalir membasahi baju. Fiz, Hanif dan Haris…..