Saham Alibaba melonjak, Jack Ma muncul semula

BEIJING, 20 JAN – Saham gergasi Internet Alibaba melonjak lebih dari 8 peratus hari ini selepas pengasas jutawan Jack Ma tampil buat pertama kali di khalayak umum sejak November, mengakhiri spekulasi berminggu-minggu tentang keberadaannya selepas pihak pengawal seliaan China meningkatkan pengawasan ke atas syarikat itu.

Ma – salah seorang individu terkaya di Asia dengan kekayaan yang dianggarkan sekitar AS$58 bilion – tidak membuat kemunculan di khalayak ramai selepas melontarkan kritikan dalam ucapannya pada Oktober lalu mengenai sistem kewangan China.

Dalam ucapannya semasa forum di Shanghai, dia telah mengkritik sistem pengawal seliaan China, di mana tindakannya itu telah mencetuskan kekeliruan dalam dasar kewangan di China sehingga menyebabkan IPO kumpulan kewangannya, Ant, bernilai AS$37 bi-lion disekat.

Sejak itu, pihak berkuasa kewangan China memerintahkan Ant untuk mengubah model perniagaannya dan menarik balik perkhidmatan pinjaman, insurans dan pengurusan kekayaannya, sementara Alibaba juga menjadi subjek penyelidikan antimonopoli.

Tetapi klip video yang dikeluarkan oleh agensi berita kewangan China hari ini menunjukkan beliau sedang memberi ucapan kepada guru-guru di luar bandar sebagai sebahagian daripada upacara penghargaan yang dianjurkan oleh badan amalnya.

Saham di Alibaba melonjak 8.5 peratus kepada HK$265 di Hong Kong.

Dalam ucapan itu, Ma memuji usaha-usaha pembasmian kemiskinan di China dan berikrar akan menggiatkan lebih banyak usaha untuk membantu para guru di luar bandar.

“Saya dan rakan sekerja … lebih bertekad untuk mengabdikan diri kepada pendidikan dan kesejahteraan awam,” katanya, menurut transkrip ucapannya yang disiarkan oleh laman berita Tianmu News.

“China telah … memasuki tahap pembangunan baharu, dan menuju kemakmuran bersama.” – AFP

Gambar fail pada 16 Mei 2019 menunjukkan Jack Ma bercakap semasa pameran startups Vivatech di Paris. – AFP