SAN FRANCISCO, 20 APRIL – Netflix mencatat kerugian pelanggan pertamanya dalam lebih satu dekad, mendorong sahamnya merosot 35 peratus dalam perniagaan dilanjutkan di tengah kebimbangan perkhidmatan penstriman mungkin melihat era kegemilangannya bakal berakhir.
Jumlah pelanggan syarikat berkurangan 200,000 semasa tempoh Januari-Mac, menurut laporan pendapatan suku yang dikeluarkan semalam. Ia adalah kali pertama pelanggan Netflix telah merosot sejak perkhidmatan penstriman dilancarkan di seluruh dunia di luar China enam tahun lalu. Kemerosotan pada tahun ini berpunca sebahagiannya daripada keputusan Netflix untuk berundur dari Rusia untuk membantah perang ke atas Ukraine, mengakibat kehilangan 700,000 pelanggan.
Netflix mengakui masalahnya semakin teruk apabila meramalkan kehilangan 2 juta pelanggan lagi semasa tempoh April Jun. Jika kemerosotan saham berlarutan sehingga sesi perniagaan hari ini, saham Netflix akan kerugian lebih separuh daripada nilai mereka setakat tahun ini – menghapus kira-kira AS$150 bilion dalam kekayaan pemegang saham dalam kurang empat bulan.
Netflix berharap dapat mengubah keadaan dengan mengambil langkah yang ditentangnya sebelum ini, termasuk menyekat perkongsian akaun dan memperkenalkan versi perkhidmatan yang lebih murah dan disokong iklan.
Penganalisis Aptus Capital, David Wagner berkata kini sudah jelas Netflix sedang bergelut dengan cabaran besar dalam nota penyelidikannya semalam.
Ia menandakan kali keempat dalam lima suku terakhir di mana pertumbuhan pelanggan Netflix telah merosot di bawah pemerolehan tahun sebelumnya, masalah yang telah diburukkan oleh persaingan sengit daripada pesaing seperti Apple dan Walt Disney. – AP