HONG KONG, 11 OKT – Saham pembuat cip Asia hari ini merudum dalam dagangan Asia selepas langkah-langkah baharu AS untuk mengehadkan akses China ke atas semikonduktor berteknologi tinggi yang digunakan dalam ketenteraan, satu langkah yang menghapuskan berbilion-bilion nilai syarikat terbabit di seluruh dunia.
Pengumuman pada Jumaat menandakan pergeseran terbaharu antara dua negara kuasa super itu yang turut bertikai dalam beberapa isu termasuk teknologi, perdagangan, Hong Kong, Taiwan dan hak asasi manusia.
Jabatan Perdagangan AS mengatakan langkah-langkah itu termasuklah sekatan eksport ke atas beberapa cip digunakan dalam pengkomputeran super dan keperluan yang lebih sukar bagi jualan peralatan semikonduktor.
Keputusan itu menjejaskan pengilang cip, dengan Indeks Semikonduktor Bursa Saham Philadelphia menyaksikan ia ditutup paling rendah sejak lewat 2020, manakala Bloomberg News melaporkan kemerosotan AS$240 bilion daripada nilai pasaran global syarikat-syarikat. Bursa saham Taipei, Seoul dan Tokyo ditutup kerana cuti pada Isnin dan apabila dagangan disambung se-mula hari ini, saham-saham pembuat cip merosot.
Firma disenaraikan dalam bursa saham Taipei adalah antara yang teruk terjejas, dengan indeks saham Taiex berkurangan lebih daripada empat peratus.
Taiwan Semiconductor Manufacturing Co. merosot 8.3 peratus dan ASE Technology turun sembilan peratus. Di Korea Selatan, gergasi teknologi, Samsung Electronics, pembuat semikonduktor utama, turun lebih satu peratus manakala DB Hitek merosot lebih tiga peratus.
Di Tokyo, saham Renesas Electronics didagang bawah hampir enam peratus dengan Tokyo Electron turut mengalami penurunan hampir serupa.
Langkah-langkah AS kemungkinan menyukarkan lagi usaha Beijing untuk meluaskan industri semikonduktornya dan membangunkan sistem ketenteraan canggih. Ia juga berlaku menjelang kongres Parti Komunis utama di China, dengan Presiden Xi Jinping dijangka dilantik dalam penggal ketiga. – AP