Saham Saudi jatuh berikutan pengumuman langkah ‘drastik’

DUBAI, 3 MEI – Saham Arab Saudi merosot hari ini, sehari selepas menteri kewangan mengumumkan langkah ‘menyakitkan’ untuk mengatasi impak pandemik koronavirus ke atas ekonomi.

Pasaran saham Tadawul ditutup 7.4 peratus lebih rendah, apabila semua kecuali satu daripada 195 saham tersenarai di bursa terbesar dunia Arab berada dalam keadaan debit.

Firma gergasi tenaga Saudi Aramco merosot 5.2 peratus pada akhir perniagaan hari pertama minggu untuk rantau negara Islam.

Menteri Kewangan, Mohammed al-Jadaan berkata semalam bahawa kerajaan akan mengambil ‘langkah drastik’ untuk menghadapi dua kejutan koronavirus serta kejatuhan harga minyak. “Beberapa langkah ini mungkin menyakitkan,’ katanya dalam temu bual bersama Al-Arabiya.

Menteri itu menjangkakan Riyadh mungkin kehilangan separuh daripada pendapatan minyaknya, yang menjana 70 peratus daripada pendapatan awam, memandangkan harga minyak telah menyusut dua pertiga daripada nilainya sejak awal tahun ini.

Saham Arab Saudi jatuh sehari selepas menteri kewangan mengumumkan langkah ‘drastik’ untuk mengatasi impak pandemik koronavirus ke atas ekonomi. – AFP

Jadaan berkata kerajaan memperuntukkan AS$48 bilion sebagai rangsangan untuk menyokong ekonomi ketika menghadapi impak koronavirus. Beliau berkata pengeksport minyak mentah terkemuka dunia akan meminjam hampir AS$60 bilion pada tahun ini untuk mengawal defisit belanjawan.

Syarikat Pelaburan Saudi Jadwa meramalkan negara akan mencatat defisit belanjawan sebanyak AS$112 bilion pada tahun ini.

Capital Economics yang berpangkalan di London berkata minggu lalu penguncupan mencecah sekurang-kurangnya 5 peratus, salah satu kemerosotan terbesar dalam beberapa dekad.

Moody’s Investors Service pada Jumaat mengubah prospek ekonomi Saudi kepada negatif dari stabil tetapi mengekalkan pemeringkatan A1 mereka.

“Prospek negatif mencerminkan risiko negatif terhadap kekuatan fiskal Arab Saudi berpunca daripada kejutan teruk terhadap permintaan minyak global dan pandemik koronavirus,” kata agensi. – AFP