TOKYO, 21 Feb – Saham Tokyo meningkat hari ini tatkala sentimen pasaran semakin pulih disebabkan mata wang yen yang lebih lemah berbanding dolar.
Indeks Nikkei 225 naik 0.21 peratus atau 45.71 mata untuk ditutup pada 21,970.81 tetapi indeks Topix kerugian 0.05 peratus atau 0.84 mata pada 1,761,61.
Nikkei telah dibuka lebih rendah ekoran kemerosotan di Wall Street, dengan keputusan Walmart yang mengecewakan membebani peruncit Amerika Syarikat dan pasaran AS yang lebih luas. Dow Jones Industri ditutup 1.0 peratus lebih rendah.
“Namun sentimen pembelian berpulih disebabkan kelemahan yen berbanding dolar,” beritahu Toshikazu Horuichi, broker di IwaiCosmo Securities kepada AFP.
Bagaimanapun, pelabur masih resah selepas kebimbangan inflasi AS dan kadar faedah yang lebih tinggi mencetuskan perubahan mendadak di pasaran saham dalam beberapa minggu ini.
Shinichi Ichikawa, ketua ahli strategi pasaran di Credit Suisse Securities, berkata “ketidakstabilan telah reda untuk sekarang.”
Pasaran sedang menunggu untuk melihat sama ada data pekerjaan AS untuk Februari yang dikeluarkan pada bulan depan akan menunjukkan pertumbuhan gaji yang memberangsangkan, sebelum meramalkan trend inflasi.
“Perkembangan ekonomi AS sejak 2009 adalah berpunca daripada wang dan kadar faedah yang rendah yang disediakan oleh Persekutuan, yang mendorong pelaburan modal korporat. Ia mungkin memulakan satu putar balik,” beritahunya kepada AFP.
Dolar diniagakan pada 107.79 yen, bertambah daripada 107.32 yen di New York semalam dan julat 106 yen yang dilihat sehari sebelumnya.
“Tahap 107 yen adalah satu tahap di mana syarikat mungkin dapat memperoleh keuntungan untuk tahun fiskal akan datang, maka jangkaan berhubung pendapatan korporat yang kukuh mungkin akan berterusan,” beritahu Mitsuo Shimizu, penolong pengurus besar di Japan Asia Securities, kepada Bloomberg News.
Sony meningkat 1.54 peratus kepada 5,378 yen sementara Nintendo naik 1.72 peratus kepada 47,770 yen.
Toyota meningkat 0.12 peratus kepada 7,300 yen manakala Honda memperoleh 1.63 peratus kepada 3,847 yen, dengan Nissan naik 0.40 peratus pada 1,121.5 yen. – AFP