Sahut cabaran demi pikul peranan sebagai pendidik

Oleh Nurdiyanah R.

Detik-detik berpindah dari satu tempat ke satu tempat bukanlah satu kerja yang begitu mudah untuk dilaksanakan. Apatah lagi, berhijrah dari dalam ke luar negara untuk memikul amanah dalam pekerjaan merupakan satu amanah besar.

Mungkin sesetengah orang akan merasa begitu berat kerana terpaksa meninggalkan tanah air di mana mereka dilahirkan.

Namun berbeza dengan Eulalia Curaming, salah seorang pendidik warga Filipina yang kini mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Tambahan (English as an Additional Language) di Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB), kampus Bandar Seri Begawan, baginya tanggungjawab dalam meneruskan misi pengajaran dan pembelajaran ke luar negara itu merupakan suatu pengembaraan yang sungguh unik untuk diterokai sebagai seorang guru pakar dalam bidang berkenaan.

Tiada istilah noktah dalam menuntut ilmu

Apabila mengimbas kembali perjuangannya dalam meniti zaman kuliah sebelum menamatkan pengajian sarjana muda dalam program latihan perguruan di salah sebuah institusi di negara asalnya suatu ketika dahulu, Eulalia Curaming begitu proaktif untuk mendalami ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang pendidikan Bahasa Inggeris sehingga tekad untuk melanjutkan pengajiannya

Kesungguhan insan pendidik ini menyatakan bahawa dalam meniti dunia pengajian, beliau merasakan semakin banyak dia menuntut ilmu, maka semakin banyaklah ilmu yang perlu diterokai sehingga tercetusnya semangat untuk menyahut cabaran meneruskan pengajiannya ke peringkat sarjana di universiti yang sama.

Eulalia Curaming, siswazah Master of Arts (Applied Linguistics), NIE NTU, Singapura.

Tidak lama kemudian, Eulalia Curaming mengikuti jejak suaminya di atas komitmen kerja di luar negara. Beliau yang menyaksikan peluang mengajar di luar negara sangat luas namun mendapati kelayakan pendidikannya terbatas lebih-lebih lagi dalam persaingan global.

Hal ini berikutan, beberapa negara seperti Australia, Singapura dan Brunei tidak sepenuhnya mengiktiraf ijazah sarjana muda dan sarjana beliau.

“Oleh itu, saya merasakan amat perlu untuk saya memperolehi ijazah yang lebih tinggi serta diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi memenuhi persaingan dalam pasaran pekerjaan global,” ujarnya lagi sehingga mendorongnya untuk mengambil program Master of Arts (Applied Linguistics) di National Institute of Education, Nanyang Technological University (NIE NTU), Singapura setelah menerima kelayakan dari British Council Singapore.

NIE NTU, Singapura menjadi pilihan utama

Dalam pada itu, Eulalia Curaming berkongsi bahawa adapun pemilihan melanjutkan pengajian di NIE NTU, Singapura itu merupakan pilihan utama beliau kerana berkeinginan untuk meneruskan misi pengajiannya di salah sebuah institusi ternama yang sememangnya dilihat memiliki latar belakang yang begitu cemerlang meliputi pencapaian akademik selama ini.

“Mengikuti program di universiti ini khususnya dalam linguistik gunaan telah merealisasikan impian saya, lebih-lebih lagi bagi mendalami pemahaman yang lebih jelas berkaitan bahasa. Selain itu, pengalaman mengikuti pengajian di sana turut mendidik dirinya untuk lebih memantapkan aspek landasan teori, kompeten pedagogi, berfikiran terbuka dan berorientasi penyelidikan.”

“Dengan adanya kerja kursus yang padat, dari sana saya telah berpeluang untuk mengetahui selok-belok pemerolehan bahasa, pengajaran bahasa, penilaian dan literasi multimodal yang mana segalanya menjadi asas yang sangat bermanfaat lebih-lebih lagi dalam memikul peranan sebagai guru pakar dalam Bahasa Inggeris sebagai bahasa tambahan sekarang,” tambahnya.

Tingkat pemikiran, cetus inspirasi

Di samping meningkatkan kecekapannya dalam profesi perguruan, Eulalia Curaming bersyukur dapat meraih peluang dan pengalaman yang luas semasa mengikuti program di universiti berkenaan dan menekankan bahawa pihak fakulti begitu komited dalam mendorong dirinya untuk sentiasa lebih proaktif dalam meningkatkan batas kemampuan pemikiran intelektualnya.

“Takkan dapat saya lupakan, tunjuk ajar para profesor yang amat disanjungi dan begitu juga sesi perbincangan dan perbahasan ilmiah selaku dasar eksplorasi kritikal yang telah dilaksanakan. Segalanya mencetus daya pemikiran kami untuk lebih berkembang jauh lagi.

“Sebagai seorang pelajar antarabangsa, pastinya saya begitu gembira dengan suasana universiti yang selesa dan mencetus inspirasi bersama, dengan dikelilingi oleh insan-insan yang memiliki pemikiran yang terbuka dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain meskipun dari pelbagai latar belakang.

Tidak diragui lagi, NIE NTU merupakan sebuah universiti latihan perguruan yang sebenar dengan adanya pimpinan barisan profesor yang cemerlang, rakan-rakan seperjuangan yang hebat, kemudahan dan kampus yang begitu canggih dan indah,” tambahnya dengan penuh ketulusan.

Sentiasa berfikiran terbuka

Dalam pada itu, Eulalia Curaming turut menyarankan kepada calon pelajar antarabangsa untuk mengikuti pelbagai tawaran pengajian di NIE NTU.

Beliau juga menasihatkan kepada para pelajar agar sentiasa mengikuti perkembangan semasa untuk meluaskan pengetahuan selain menerokai rahsia keindahan penuh mempesona apabila berada di Singapura.

Sehubungan itu, demi memperkasakan pengajaran Bahasa Inggeris secara profesional, Program MAAL menyediakan kursus pengajian luas dalam bidang linguistik gunaan, merangkumi elemen pendidikan bahasa dan kajian bahasa, sambil menyeimbangkan pengetahuan teori dengan aplikasi praktikal.

NIE, Singapura adalah sebuah institusi autonomi di bawah NTU dan secara konsisten menjadi 20 institusi pendidikan teratas di dunia dan tiga teratas di Asia dalam kedudukan Quacquarelli Symonds (QS).