Sahut cabaran ekonomi berasaskan permintaan

KUALA LUMPUR, 7 OKT – Syarikat Bumiputera digesa untuk menceburi bidang ekonomi berasaskan permintaan, khususnya dalam sektor produk dan perkhidmatan berasaskan pengguna, berikutan kontrak dan perniagaan kerajaan hanya menyumbang kurang 15 peratus daripada ekonomi.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata hari ini, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan hanya merupakan sebahagian kecil daripada ekonomi.

“Ekonomi Malaysia, sepertimana kebanyakan ekonomi lain, telah beralih ke arah menjadi ekonomi pengguna dan perkhidmatan berasaskan permintaan daripada yang dipacu oleh kontrak dan pembekalan kerajaan, dan saya fikir aspek inilah yang kita perlu kaji, dan saya percaya ia menjadi tumpuan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030,” katanya kepada pemberita pada Forum Megatrends Khazanah 2019, di sini hari ini. Beliau berkata demikian bagi mengulas usaha kerajaan untuk mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera di bawah WKB2030, yang dilancarkan Sabtu lepas. WKB2030 ialah kerangka untuk mewujudkan kekayaan dan kemakmuran untuk negara yang akan memberi manfaat kepada semua lapisan rakyat Malaysia dalam iklim ekonomi yang tidak menentu.

Shahril Ridza berkata, ketika ini 85 peratus daripada ekonomi Malaysia akan memberi tumpuan kepada permintaan luar negara dan permintaan pengguna dalam negara. – Bernama

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Shahril Ridza Ridzuan ketika bercakap pada sidang media selepas Forum Khazanah Megatrends 2019 kelmarin. – Bernama