Bandar Seri Begawan, 9 Mac – Tujuh atlet lawan pedang negara dari empat buah institusi pengajian tinggi akan bertanding dalam Kejohanan Lawan Pedang Universiti ASEAN 2017 yang julung-julung kalinya diadakan di Universiti Nilai, Malaysia.
Para atlet lawan pedang ini akan mewakili institusi masing-masing iaitu Institut Kemuda, Kolej Cosmopolitan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Sekolah Perdagangan dan IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal.
Usaha berterusan oleh Persekutuan Lawan Pedang Brunei Darussalan (BDFF) adalah bagi memberikan pendedahan yang lebih luas kepada atlet-atlet negara sebagai persediaan menjelang kejohanan-kejohanan akan datang.

“Ini adalah satu kejohanan yang sangat bagus untuk kami memberikan lebih banyak pengalaman kejohanan, terutamanya kepada para peserta Sukan SEA yang akan bersaing pada bulan Ogos tahun ini.
Selain itu, kejohanan ini juga memberikan rasa bangga kepada para peserta lawan pedang kerana mewakili institusi masing-masing,” kata Setiausaha Agung BDFF, Kapten (U) Nashriq Moksin.
“Kami mahu para atlet berjaya dalam sukan dan pengajian mereka,” tambahnya. Kejohanan itu dianjurkan oleh Universiti Nilai, akan disertai oleh institusi-institusi pengajian tinggi dari Asia Tenggara. Kejohanan akan membuka tirai esok dengan Kategori Sabre Lelaki dan Foil Wanita.