Sahut cabaran sertai aktiviti panjat pokok

DAERAH NANTOU, TAIWAN – Di sebuah tapak kem di tengah Taiwan, sekumpulan wanita menggunakan tali untuk meluncur naik sebatang pokok Chinaberry setinggi tujuh tingkat, melawan rasa takut terhadap ketinggian dan berinteraksi dengan alam semula jadi.

Memanjat pokok masih merupakan satu aktiviti yang menarik di Taiwan tetapi semakin ramai wanita sedang menyahut cabaran itu disebabkan pakar pemanjat wanita bertauliah antarabangsa pertama di pulau itu.

Sylvia Hsu, 26, berkata beliau mendapat inspirasi untuk mengadakan kelas memanjat pokok wanita sahaja selepas melihat kepopularan perkumpulan sedemikian berkembang pesat di Eropah.

“Kem untuk wanita sahaja memberikan suasana yang lebih santai,” beritahunya kepada AFP tatkala ahli-ahli dari kelasnya bergantungan di kanopi di atas.

“Hati saya tersangkut pada pokok selepas aktiviti memanjat pertama. Semakin saya mempelajari tentang pokok, semakin saya menghargainya,” tambahnya.

Sylvia Hsu menunjukkan kemahiran memanjat pokok semasa kelas latihan yang dianjurkan oleh Kem Arb Wanita di Nantou, tengah Taiwan. – AFP

Hsu Ren-han, wanita pertama di Taiwan yang menjadi pakar memanjat pokok bertauliah bersama kumpulannya berlatih memanjat pokok di hutan di bandar Taoyuan. – AFP

Kebanyakan wanita yang mengikuti kursus pernah mengalami rasa takut pada prospek memanjat pokok setinggi 30 meter.

“Saya muntah kali pertama saya memanjat sehingga 10 meter…Ia bukan sesuatu yang manis, dan semua orang di bawah menjerit dan lari bertempiaran,” kata Chen Yun-hsia, penerbit filem dokumentari.

“Saya sudah biasa lama-kelamaan dan memanjat lebih tinggi. Saya rasa pokok adalah seperti manusia, ia melindungi saya apabila angin sedang bertiup,” tambah beliau.

Memanjat pokok cenderung jatuh kepada dua kategori. Pakar – juga dikenali sebagai pakar bedah pokok – yang mengekal dan menjaga pokok sebagai mata pencarian, dan mereka yang memanjat untuk keseronokan.

Aktiviti memanjat rekreasi telah menjadi semakin popular di seluruh dunia sejak pakar memanjat pokok AS Peter Jenkins mula mempromosinya pada tahun 1983, menggunakan teknik dan alat daripada profesionnya dan juga meminjam daripada pendaki batu peneroka gua.

Trees Climbers International, persatuan yang ditubuhkan oleh beliau, kini mempunyai lebih 700 ahli pengajar yang disenarai di seluruh dunia mengajar aktiviti memanjat pokok.

Hobi tersebut termasuk budak-budak ditarik naik menggunakan tali kepada pertandingan memanjat yang mendebarkan.

Komuniti profesional dan amatur sering melihatnya sebagai sukan ‘macho’. Namun ia sudah berubah secara beransur-ansur.

Boel Hammerstrand, seorang rakyat Sweden, memulakan aktiviti yang terdiri daripada wanita sahaja empat tahun lalu di UK dan kini berkunjung ke serata dunia untuk membantu orang lain melakukan yang sama.

Wanita di Eropah yang bekerja dalam profesion pakar memanjat pokok telah meningkat mendadak, beritahu veteran yang sudah menceburi bidang itu selama 13 tahun kepada AFP.

“Ia banyak melibatkan otak daripada kekuatan tenaga,” katanya di kem di Taiwan. Hsu berkata kelasnya telah bertambah dua kali ganda dalam tempoh tiga tahun lalu, terutamanya dengan penghuni bandar dan anak mereka mencari cara-cara untuk menikmati alam semula jadi.

“Dua puluh tahun lalu, ibu bapa akan berkata ‘Turun, ia terlalu berbahaya’. Sekarang ibu bapa fikir ia menarik dan mendaftar anak mereka untuk sertai,” kata Hsu.

Cheng Han-chien, seorang guru sekolah tinggi di kem, berkata ‘perasaan ajaib’ semasa berada dalam kanopi kerap mendorongnya kembali.

“Saya suka pokok tetapi sebelum itu, saya hanya boleh menyentuh akar mereka,” kata Cheng sambil tertawa kecil. “Sekarang, saya boleh berada amat dekat dengan badannya.”

Daripada 29 pakar memanjat pokok yang bertauliah di Taiwan, hanya tiga adlah wanita, termasuk Hsu.

Ramai yang bergelut untuk mencari kerja yang cukup memandangkan adalah lebih muah dan lebih cepat untuk mendapatkan kren dan sesiapa dengan kemahiran menggergaji.

“Keluarga saya, seperti kebanyakan keluarga di Taiwan, tidak emmikirkan anda boleh menyara diri anda dengan memanjat pokok,” kata Hsu tatkala terkenangkan reaksi ibu bapanya apabila mereka pertama mendapat tahu mengenai pilihan kerjayanya.

Namun sumber pendapatan yang luar biasa dalam tempoh beberapa tahun lalu adalah mendapatkan semula dron.

Dalam tempoh dua bulan lalu sahaja, Hsu dan rakan memanjat pokok berjaya menemui dan mendapatkan semula 41 dron.

Setiap pengeluaran berharga di antara $100 hingga $160 selain bayaran balik perbatuan kenderaan.

“Kami mempunyai skuad menyelamat dron, dan perniagaan adalah laris.”

Mina Wang, seorang pelajar universiti berusia 22 tahun, berkata beliau merancang menjadi pakar memanjat pokok profesional selepas beliau tamat pengajian pada musim panas ini.

Beliau sedang membaiki kemahirannya sebelum menduduki peperiksaan pensijilan beliau.

“Setiap kali saya berada bersama pokok, saya rasa seolah-olah saya bersama seorang kawan dan teman,” katanya sambil tersenyum.

“Saya mahu membantu memotong ranting dan dahan supaya ia boleh membesar dengan gembira sekali lagi.” – AFP