Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Sahut cabaran takluki gunung penuh berisiko

    CHAMONIX, PERANCIS – Selepas enam hari dan lima malam mengharungi angin amat sejuk, ‘melekap pada ais’, tidak tidur, tidak makan, Charles Dubouloz masih berasa teruja dan gembira.

    Pemandu gunung Perancis itu mungkin mengalami kelesuan dan reput fros, terutamanya di tangan, namun matanya bersinar-sinar ketika dia senyum – dia baru sahaja menakluki dunia.

    “Saya mahu mengadakan perjalanan yang menyeronokkan tanpa menaiki kapal terbang,” katanya sambil tertawa kecil apabila bercakap kepada AFP selepas pulang ke bandar Alp Chamonix dari mana dia bertolak enam hari sebelumnya.

    Frasa ‘perjalanan menyeronokkan’ tidak mengisahkan apa yang diharungi Dubouloz apabila dia menjadi orang pertama yang mendaki muka cenuram berbahaya Grandes Jorasses, secara solo dan pada musim sejuk.

    Terdiri daripada sebahagian Mont Blanc Massif, Grandes Jorasses adalah satu daripada tiga muka cenuram Grandes Jorasses di Alp, membentuk ‘Trilogi’ dengan Eiger dan Matterhorn.

    Dubouloz berpaut pada ais apabila dia mendaki cenuram Grandes Jorasses. – AFP
    Perasaan gembira jelas terukir pada wajah Dubouloz apabila berjaya menakluki Grandes Jorasses di Alp. – AFP

    Pierre Boucher bersaing semasa pertandingan mendaki air terjun ais antarabangsa di lembah Freissinieres di Parc des Ecrins berhampiran L’Argentiere-la-Bessee di Alp, tenggara Perancis. – AFP
    Pemandu gunung mendaki salah satu cenuram di lembah Alp di tenggara Perancis. – AFP

    Ia mencuar tinggi melampaui Glasier Leschaux dan dengan mendakinya pada masa ini, Dubouloz mengisytiharkan haknya untuk menjadi pendaki gunung paling terkenal.

    “Ia merupakan keunggulan mendaki gunung, melakukannya secara solo dan lebih-lebih lagi pada musim sejuk. Impian saya menjadi kenyataan,” beritahunya kepada AFP.

    “Apabila saya sampai ke kemuncak, saya menangis. Saya baring dan diselubungi perasaan gembira dan berjaya.

    “Sendirian, ia memerlukan komitmen tambahan, segala-galanya adalah lebih ekstrem, menggunakan tali misalnya. Tiba sendirian bermakna, mendaki laluan lasak, ia sungguh menakjubkan. Ia adalah dimensi tambahan.”

    Pendaki gunung berusia 32 tahun itu memulakan usahanya pada 13 Januari apabila dia meninggalkan Chamonix dengan dua beg galas, buaian kanvas dan sedikit makanan.

    Selepas mendaki lima hari, dia sampai ke kemuncak Grandes Jorasses setinggi 4,208 meter – pendakian setinggi 1,100 meter melalui laluan ‘Rolling Stones’, dinamakan sempena batu-batannya yang kering, yang boleh pecah berderai apabila disentuh.

    Pendakian pertama ke kemuncak gunung tertinggi dilakukan oleh seorang warga Inggeris Horace Walker dan pemandunya Melchior Anderegg, Johann Jaun dan Julien Grange pada 30 Jun 1868 tetapi laluan ‘Rolling Stones’ hanya dibuka pada musim panas 1979 oleh empat pendaki gunung Slovak.

    Tidak ada sesiapa yang telah mencubanya secara solo dan pada musim sejuk, di mana suhu pada malam mencecah negatif 30 darjah Celsius.

    “Saya hanya bermalam satu malam dalam buaian kanvas, saya melekap pada ais, ia bukan perasaan menyenangkan,” katanya.

    “Untuk berehat, saya membuat teres dengan kapak ais dan cuba menyediakan ruang untuk diri saya kira-kira 1.5 meter panjang dan 1.7 meter lebar. Saya tidur dengan separuh duduk.”

    Disebabkan risiko dan stres yang dicetuskan oleh keadaan tersebut, Dubouloz berkata dia ‘jarang makan’ semasa enam hari berada di gunung.

    “Pendakian ini dilakukan dengan margin amat tipis. Awda sentiasa rasa berdebar-debar, ia boleh berakhir dalam kemalangan atau kematian.”

    “Saya mengaku saya sentiasa berasa takut. Terdapat laluan, termasuk satu terutamanya di batu-batan yang amat teruk, di mana saya berasa takut sepanjang perjalanan. Terdapat blok batu yang bergerak, awda perlu mendaki dengan berhati-hati.”

    Dubouloz tidak asing lagi dalam menyahut cabaran menakjubkan dalam dunia mendaki.

    Pada 2021, dia mendaki muka cenuram utara Petits Drus, juga terletak di Mont Blanc Massif, dan juga membuka laluan baharu bersama Benjamin Vedrines di muka cenuram utara Chamlang di Nepal.

    Kejayaannya kini telah menempatkannya antara pendaki gunung Perancis terbaharu seperti Jean-Christophe Lafaille, Marc Batard, Lionel Daudet dan Christophe Moulin, yang mendaki muka cenuram yang sama pada musim sejuk 2006 tetapi hanya bersama dua teman.

    “Apa yang telah dilakukan oleh Charles adalah satu pencapaian hebat, ia adalah pengalaman menguji dirinya serta menggunakan sumber yang dimilikinya. Ia hampir-hampir dalam alam meditasi,” beritahu Moulin kepada AFP.

    Dengan pendakian luar biasa ini, Dubouloz telah membawa ‘pengembaraan solo hebat’ kembali menjadi tumpuan.

    Ia popular di Alp pada 1990 dan 2000 sebelum lenyap di mana pendakian lebih menjurus kepada ‘tali kuat dan rekod kelajuan,’ menurut Moulin.

    “Ia adalah penemuan semula asal-usul pendakian gunung. Laluan seperti ini amat dahsyat pada musim sejuk. Awda memerlukan keupayaan luar biasa.

    “Ia merupakan muka cenuram yang amat tinggi dan mencabar. Ia adalah salah satu gunung paling sukar didaki di seluruh Alp. Ia mempunyai granit yang mudah pecah, di samping batu-batan yang bergerak.

    “Cuaca amat sejuk, siang hari adalah lebih pendek, maka awda terpaksa menghabiskan lebih banyak masa di sana, angin kencang meniup akan menimbulkan masalah.

    “Untuk berjaya sendirian, awda benar-benar perlu menjadi salah seorang pendaki gunung terbaik.”

    Charles Dubouloz boleh senyum sekarang. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...