Sahut seruan kerajaan untuk menderma darah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Orang ramai terutama penganjur-penganjur kempen derma darah sama ada dari pejabat-pejabat kerajaan, pasukan beruniform, badan-badan bukan kerajaan, sektor swasta, institusi-institusi pengajian tinggi dan sebagainya, diseru untuk sama-sama membantu pusat pendermaan darah dalam usaha untuk meningkatkan stok bekalan darah di negara ini.

Seruan itu dibuat oleh Kementerian Kesihatan, dalam kenyataannya hari ini, di mana kementerian memaklumkan kepada orang ramai bahawa stok bekalan darah di Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha adalah pada tahap yang rendah.

Dalam hubungan itu, Kementerian Kesihatan juga turut memberikan saranan kepada para penganjur kempen derma darah supaya membuat tempahan untuk mengadakan kempen derma darah di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), atau di tempat yang sesuai.

Lokasi kempen derma darah hendaklah mengikuti garis panduan Kementerian Kesihatan bagi memperketat langkah-langkah pencegahan dan pengawalan COVID-19 iaitu dengan menyediakan kod QR BruHealth; tempat luas yang mempunyai pengudaraan baik seperti dewan, bilik mesyuarat, bilik persidangan, atau yang bersesuaian; menyediakan pemeriksaan suhu badan sebelum masuk ke dalam premis atau bangunan; menyediakan meja dan kerusi yang mencukupi dengan memastikan penjarakan sosial dipraktikkan iaitu sekurangnya 1.5 meter serta sanitasi tangan bagi kegunaan penderma darah.

Mereka juga disarankan untuk mengenal pasti kakitangan atau penderma darah yang ingin menderma darah seboleh-bolehnya tujuh hari sebelum kempen derma darah diadakan dan menyenaraikan nama penderma mengikut slot, dengan setiap slot terhad kepada lima orang penderma darah dalam masa 30 minit.

Mereka turut disarankan untuk memastikan penderma darah memenuhi kriteria kelayakan menderma darah iaitu sihat dan hanya penderma yang mempunyai kod QR BruHealth berwarna hijau sahaja dibenarkan, tidak mengalami demam, selesema atau batuk tiga hari kebelakangan, tidak mengambil ubat-ubatan yang tidak dibenarkan dan tidak mempunyai penyakit kencing manis.

Penderma juga perlu mendapatkan rehat, tidur dan makan secukupnya sebelum menderma darah, tidak ada menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam tempoh tujuh hari kebelakangan; tidak menjalani ujian swab bagi PCR COVID-19 dalam masa 30 hari kebelakangan bagi individu kontak terdekat kepada kes positif; tidak menjalani perintah kurantin atau pengasingan diri serta membawa pen sendiri untuk mengisi borang.

Manakala itu, orang ramai yang ingin menderma darah di Pusat Pendermaan Darah Hospital RIPAS adalah dinasihatkan untuk menempah awal slot menderma darah menggunakan aplikasi BloodKad.

Setiap slot masa adalah terhad kepada lima orang penderma darah sahaja. Pusat Pendermaan Darah pada masa ini hanya menerima penderma darah secara perjanjian dan tempahan melalui aplikasi BloodKad.

Kementerian Kesihatan juga mengongsi waktu operasi bagi tabung-tabung darah yang dibuka setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu iaitu bagi Pusat Pendermaan Darah, Hospital RIPAS dan Tabung Darah, Hospital Suri Seri Begawan, Belait ialah dari pukul 8 pagi hingga 2 petang, manakala Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Temburong dari pukul 9 pagi hingga 11:30 pagi dan pukul 1:30 petang hingga 3:30 petang.

Sementara itu, Tabung Darah, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong adalah ditutup buat sementara waktu hingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Orang ramai juga dibolehkan untuk menggunakan tempat letak kereta berbayar di Blok 10, Hospital RIPAS secara percuma selama dua jam dan membawa tiket letak kereta semasa menderma darah.

Berikutan perkembangan mengenai penularan COVID-19, langkah-langkah pengawalan dan pencegahan adalah diperketatkan di pusat itu dan di tabung darah setiap daerah, orang ramai diingatkan untuk mengikuti garis panduan SOP Kementerian Kesihatan setiap masa.

Bagi mereka yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut atau membuat tempahan bagi mengadakan kempen derma darah di Pusat Pendermaan Darah secara perjanjian dan tempahan atas talian, sila hubungi Pusat Pendermaan Darah di talian 2242424 sambungan 5745, 6001, 6002 atau e-mel kepada [email protected] dan ikuti Pusat Pendermaan Darah di Instagram dan Facebook [@bloodbank.ripas].