Friday, April 19, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    Sahut tanggungjawab bersama cegah AMR

    Oleh Sim Y. H.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan rintangan antimikrob telah menjadi salah satu daripada 10 ancaman kesihatan global.

    Sebanyak 4.95 juta kematian dianggarkan berkaitan dengan Rintangan Antimikrob (AMR) pada 2019 di mana perkara itu memerlukan tindakan segera oleh semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin global, penggubal dasar dan sebagainya.

    Oleh itu, Sambutan Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia (WAAW) 2022 menyahut seruan global untuk sama-sama bertanggungjawab menangani antimikrob dengan membawa tema ‘Bersama Dalam Mencegah Rintangan Antimikrob’.

    “WHO juga telah menyokong strategi-strategi penggalakan penggunaan antimikrobial secara berhemah serta memperkukuhkan langkah pencegahan untuk menangani AMR melalui kerjasama secara kolaboratif melalui pendekatan secara holistik dan multi-pronged approach yang dikenali sebagai One Health approach,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena WAAW 2022.

    Dalam perutusannya lagi, beliau berkata sebagai individu, kita masing-masing mempunyai peranan untuk memastikan sebarang rawatan antimikrob yang diambil hendaklah atas nasihat doktor dan mengikut arahan yang diberikan.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyatakan AMR merupakan ancaman global yang serius terhadap rawatan jangkitan mikrob yang berkesan.
    AMR adalah proses semula jadi dalam mikrob atau kuman termasuk bakteria, mikobakteria, virus, kulat dan parasit, yang mengakibatkan kehilangan keberkesanan rawatan antimikrob untuk merawat pelbagai jangkitan mikrob.
    Mengelak atau mengehadkan keluar rumah jika mempunyai simptom seperti selesema antara langkah yang dapat mengawal dan mencegah jangkitan.
    Kemoterapi bagi penyakit kanser mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan yang kebal menentang ubat.

    Yang Berhormat Dato menyeru untuk mengambil peranan aktif dalam kawalan dan pencegahan jangkitan termasuk mengelakkan atau mengehadkan keluar rumah jika mempunyai simptom seperti selesema, membersihkan tangan dengan kerap, mengutamakan kebersihan semasa penyediaan dan pengambilan makanan dan minuman serta mendapatkan vaksinasi bagi jangkitan tertentu, mengikut keadaan perubatan mereka apabila diperlukan.

    Terdahulu dalam perutusan itu, Yang Berhormat Dato menerangkan AMR adalah proses semula jadi dalam mikrob atau kuman termasuk bakteria, mikobakteria (mycobacteria), virus, kulat dan parasit, yang mengakibatkan kehilangan keberkesanan rawatan antimikrob yang digunakan untuk merawat pelbagai jangkitan mikrob.

    Walau bagaimanapun, proses AMR semula jadi berkenaan semakin dipercepatkan dan menjadi lebih sukar untuk ditangani disebabkan kesan daripada pelbagai aktiviti manusia, yang tidak wajarnya terjadi, di beberapa sektor seperti sektor kesihatan manusia, kesihatan haiwan dan tumbuhan serta alam sekitar.

    Aktiviti yang dimaksudkan adalah termasuk penggunaan ubat antimikrob yang tidak bersesuaian, tidak terkawal dan berlebihan, langkah pencegahan dan kawalan jangkitan yang tidak mencukupi, amalan-amalan pertanian dan pemprosesan makanan yang kurang berkualiti serta pengurusan kumbahan dan sisa yang tidak mencukupi.

    Kesan daripada penularan AMR itu, jelasnya, bermakna bakteria, kulat dan parasit tidak lagi mampu dirawat secara berkesan sepenuhnya oleh ubat antimikrob yang sedia ada pada masa ini.

    “Ini sudah jelas dilihat dalam sistem kesihatan di mana jangkitan disebabkan drug-resistant infections adalah semakin sukar untuk dirawat, dan jika pun boleh dirawat, memerlukan ubat antimikrob jenis broad spectrum yang lebih berharga,” jelasnya.

    Fenomena itu, tambah beliau, juga mengakibatkan pesakit untuk bertahan di hospital bagi tempoh yang lebih lama dan juga mengakibatkan kemerosotan kesihatan pesakit yang lebih teruk secara keseluruhan.

    Golongan pesakit tertentu yang mudah terdedah kepada jangkitan, seperti mereka yang mempunyai sistem imuniti yang lemah akibat penyakit atau rawatan seperti kemoterapi bagi penyakit kanser, mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan yang kebal menentang ubat. Selain itu, prosedur perubatan seperti pembedahan, pemindahan organ dan kemoterapi boleh menjadi lebih berisiko disebabkan oleh jangkitan AMR.

    Yang Berhormat Dato turut menyatakan mereka yang bekerja di sektor kesihatan juga mempunyai peranan signifikan kerana usaha dalam melawan AMR itu, boleh ditingkatkan lagi dengan pemberigaan pengetahuan kesihatan sesama profesional kesihatan dan juga orang awam mengenai perbezaan jenis-jenis jangkitan dan bila ubat antimikrob boleh digunakan.

    Selain itu, langkah-langkah pencegahan jangkitan juga perlu diamalkan ketika merawat pesakit terutamanya pesakit yang telah dijangkiti kuman yang mempunyai rintangan kepada antimikrob.

    Pengawalan penggunaan antimikrob yang baik juga perlu diamalkan bagi mencegah penggunaan antimikrob tidak berhemah.

    Ini termasuk amalan preskripsi antibiotik yang baik seperti meneliti semula penggunaan antimikrob dan merujuk kepada garis panduan yang telah ditetapkan.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menyatakan AMR merupakan ancaman global yang serius terhadap rawatan jangkitan mikrob yang berkesan.

    Penyelesaian masalah rintangan antimikrob itu tidak lagi bergantung kepada penghasilan antimikrob yang baharu sebagai strategi utama, akan tetapi ia memerlukan tindakan pencegahan secara kolektif yang perlu dilakukan bersama mulai sekarang.

    “Ini akan membantu memastikan rawatan antimikrob akan masih dapat digunakan dengan berkesan di masa hadapan, serta mengurangkan kesan dan beban jangkitan, khususnya jangkitan yang mempunyai ciri AMR.”

    Tambahnya lagi, “Dengan itu, bersama-samalah kita mencegah AMR demi masa depan kita.”

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pengawal dari Pakistan tuntut kewarganegaraan

    SYDNEY, 18 APRIL - Perdana menteri Australia hari ini berkata beliau akan mempertimbangkan untuk memberikan kewarganegaraan kepada seorang pengawal keselamatan Pakistan yang cedera dalam...