PUTRAJAYA, 12 Ogos – Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah akan mengadakan lawatan rasmi ke Brunei Darussalam esok bagi memenuhi undangan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II, Brunei Darussalam, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Luar Negeri berkata lawatan itu merupakan sebahagian daripada siri lawatan pengenalan beliau selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Luar Negeri yang baharu pada 2 Julai yang lalu.
Dalam lawatan itu, beliau akan diiringi oleh pegawai-pegawai Kementerian Luar Negeri.
Saifuddin akan menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selain bertemu rakan sejawatan beliau untuk membincangkan isu dua hala Malaysia-Brunei Darussalam
serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Kenyataan itu turut menyebut lawatan itu bakal membuka peluang kepada kedua-dua negara untuk meneroka dan memperkukuhkan lagi kerjasama sedia ada dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama. – Bernama