Saifuddin adakan lawatan rasmi ke Jakarta

PUTRAJAYA, 17 OKT – Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah akan mengadakan lawatan rasmi empat hari ke Jakarta, Indonesia mulai hari ini (17 Oktober) yang bakal memberi peluang untuk kedua-dua pihak meneroka kerjasama baharu dalam fasa pemulihan pasca pandemik serta membincangkan usaha-usaha menangani cabaran serantau dan antarabangsa.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan lawatan itu, yang pertama sejak pelantikan semula beliau pada 30 Ogos, mencerminkan hubungan akrab dan komprehensif antara Malaysia dan Indonesia sebagai negara jiran terdekat.

“Menteri akan diiringi pegawai-pegawai dari Wisma Putra, dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia Joko Widodo dan bertemu rakan sejawatannya, Retno L.P. Marsudi,” menurut kenyataan itu.

Saifuddin turut dijadual bertemu Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi dan mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Perwakilan Tetap ASEAN.

“Program lawatan yang lain termasuk sesi forum interaktif bersama Universitas Paramadina dan Foreign Policy Community of Indonesia (FPCI), perjumpaan dengan Kamar Dagang Indonesia (KADIN) dan pertemuan dengan pelajar dan diaspora Malaysia di Jakarta,” menurut kenyataan itu.

Lawatan ini dirancang dan dilaksanakan selaras dengan tatacara dan Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan COVID-19 seperti ditetapkan pihak berkuasa kedua-dua negara. – Bernama