Monday, March 24, 2025
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saingan lebih sengit

    Oleh Mohamad Asyramisyanie

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Sebanyak 32 pasukan akan berentap dalam Kejohanan Futsal Piala Keputeraan 2018 bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72 tahun.

    Kejohanan pada kali ini merupakan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan dan Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD). Kumpulan A hingga D akan membuka tirai perlawanan pada 5 Ogos ini manakala Kumpulan E hingga H akan berlangsung pada 12 Ogos depan. Kesemua perlawanan akan berlangsung di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

    Sehubungan dengan itu, Media Permata berpeluang menemu bual Pengerusi Bersama Kejohanan Futsal Keputeraan 2018, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz yang antaranya meluahkan rasa keterujaannya untuk kejohanan futsal yang kembali lagi pada tahun ini setelah diadakan pada edisi lalu pada 2016.

    “Penganjuran kejohanan ini dibuat dua tahun sekali dan dimuatkan dalam kalendar sebagai acara bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan,” ujarnya.

    Menurutnya, penganjuran kejohanan ini boleh dikatakan kejohanan yang besar dan berprestij dan sudah setentunya dinantikan oleh para peminat futsal dan juga kelab futsal yang ada di negara ini.

    Awang Rosdin ketika mempengerusikan mesyuarat dan acara undian bagi kejohanan itu baru-baru ini.

    Apabila ditanya mengenai cabaran yang dijangka pada edisi kali ini, menurutnya, ia sukar untuk diramalkan dan setiap pasukan akan berdepan tugas sukar kerana banyak pasukan-pasukan baharu yang ikut serta.

    “Kita tidak tahu kekuatan mereka sebenar, namun pasukan seperti Arbisyam FC yang merupakan juara bertahan selepas menjuarai edisi 2016 dan pasukan seperti Shah United dan banyak lagi akan menyerikan dan meningkatkan lagi cabaran kejohanan ini nanti,” ujarnya.

    Katanya lagi, semua keputusan akan bergantung kepada percaturan dan juga nasib kerana dalam sukan futsal mana-mana pasukan yang dapat memanfaatkan peluang di hadapan gawang sudah pasti akan berjaya ke pusingan seterusnya.

    Apabila ditanya mengenai Arbisyam FC, katanya, “Pasukan Arbisyam FC pastinya akan menurunkan pemain-pemain muda yang berbakat dan mereka juga baharu pulang dari Kejohanan Juara-juara Kelab AFF di Indonesia.”

    Menurutnya, penyertaan pasukan itu di sana sudah setentunya akan mempersiapkan pasukan itu pada edisi kali ini dan pastinya akan menjadi salah sebuah pasukan pilihan dalam kejohanan ini dan katanya pasukan seperti JS FT yang merupakan finalis edisi 2016 juga tidak harus diketepikan kerana pemain-pemainnya terdiri daripada pemain-pemain yang berpengalaman.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda