Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mencatatkan satu lagi pencapaian yang membanggakan apabila buat pertama kalinya ditempatkan dalam kelompok 201-250 untuk Sains Sosial dalam Times Higher Education (THE) World University Subject Rankings, baru-baru in.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan UBD, ranking baharu berkenaan menempatkan universiti berkenaan di tempat ke-3 di ASEAN, bersama National University of Singapore dan Nanyang Technological University.
UBD menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam Impak Penyelidikan Sains Sosial, dalam 21 persentil teratas, dan Prospek Antarabangsa, 27 persentil teratas, di dunia.
Kenyataan menyatakan, Sains Sosial adalah disiplin ketiga UBD yang disenaraikan oleh THE, berikutan kejayaan disiplin kejuruteraan baru-baru ini, di kedudukan 201-250, dan Sains Fizikal, di kedudukan 401-500 di dunia.
Bagi universiti yang kecil dan muda, ia merupakan pencapaian besar untuk berada antara universiti terbaik di dunia. Pencapaian berkenaan sebahagiannya disebabkan kualiti akademik dan impak penyelidikan UBD.
Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Profesor Madya Dr Noor Azam bin OKMB Haji Othman dipetik berkata, pengiktirafan oleh THE itu menjadi bukti kepada kesan usaha kolektif penyelidik sains sosial di UBD terhadap masyarakat.
āDengan fokus yang kuat pada isu-isu relevan dengan masyarakat, para penyelidik dan pelajar kami dilatih untuk memerhatikan perkara-perkara daripada yang dapat memberitahu pembuat dasar, dan meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat, membawa kita selangkah lebih dekat untuk mencapai Wawasan Brunei 2035,ā tambah beliau.
Sumbangan utama sains sosial adalah latihan dan penyelidikan mengenai isu sosial yang dihadapi masyarakat.
Melalui analisis yang boleh dipercayai dan sah, menggunakan metodologi penyelidikan dan statistik lanjutan, penyelidikan sains sosial menyumbang kepada pemahaman mengenai masalah sosial dan menawarkan penyelesaian dasar yang akan berguna untuk pembuat dasar dan agensi kerajaan.