Saint Laurent henti penggunaan bulu haiwan

PARIS, 24 SEPT – Jenama fesyen mewah Perancis Saint Laurent akan berhenti menggunakan bulu haiwan dalam koleksinya mulai tahun depan, kata syarikat induk Kering hari ini, sekali gus menyertai senarai syarikat global yang semakin meningkat.

Jenama Kering Brioni juga tidak akan menggunakan bulu haiwan, menurut syarikat, menjadikan semua firma kumpulan fesyen bebas menghasilkan pakaian bulu.

Kumpulan hak haiwan telah lama melobi industri fesyen global supaya berhenti menggunakan bulu haiwan dan beberapa jenama termasuk Versace, Chanel dan Michael Kors telah pun berhenti menggunakannya.

Dalam kumpulan Kering, Gucci adalah yang pertama menggugurkan pakaian bulu pada 2017, diikuti Balenciaga, Bottega Veneta and Alexander McQueen.

“Dunia telah berubah, bersama pelanggan kami, firma perlu menyesuaikan diri dengan situasi yang dihadapi,” kata CEO Kering, Francois-Henri Pinault dalam satu kenyataan.

Kering tidak akan menggunakan sepenuhnya pakaian bulu dalam koleksi Musim Luruh 2022.

Hari ini, di antara produk bulu yang masih ditawarkan di kedai Saint Laurent adalah kot bulu arnab berharga 5,500 euro (AS$6,450), ves tanpa lengan bulu rubah dengan harga yang sama, dan sepasang kasut mink pada harga 995 euro.

Sementara itu, LVMH, kumpulan mewah terbesar dunia dan pesaing Kering, memberitahu AFP ia akan membenarkan jenamanya memenuhi permin-taan pelanggan untuk produk bulu haiwan.

Pakaian dihasilkan ‘dalam cara yang beretika dan bertanggungjawab,’ menurut LVMH, menambah ia telah mengharamkan penggunaan semua bulu haiwan daripada spesies terancam. – AFP

Seorang model menggayakan koleksi Yves Saint Laurent semasa pertunjukan fesyen di Trocadero di Paris. Saint Laurent akan berhenti menggunakan bulu haiwan dalam koleksinya mulai tahun depan. – AFP