SINGAPURA, 9 FEB – Saintis-saintis dari Amerika Syarikat hingga Australia menggunakan teknologi baharu bernilai jutaan dolar bagi membangunkan vaksin untuk merawat wabak koronavirus China.
Biarpun tempoh menghasilkan sesuatu vaksin mengambil masa yang panjang, beberapa kumpulan saintis berusaha menghasilkan vaksin khusus untuk virus terbabit dalam tempoh yang singkat.
Namun beberapa pasukan pakar sedang berlumba-lumba untuk menghasilkan vaksin secepat mungkin, disokong oleh pasukan gabungan antarabangsa yang dihasratkan untuk menangani penyakit semakin berkembang itu dan saintis-saintis Australia berharap mereka boleh menyediakannya dalam masa enam bulan.
“Keadaan kini sangat genting dan banyak beban yang perlu kami pikul. Kami tahu ramai yang sedang berusaha menghasilkan vaksin dan berharap ada antaranya yang berjaya merawat wabak ini,” kata saintis dari Australia yang juga pengkaji kanan dari Universiti of Queensland, Keith Chappell.
Selain itu, usaha sama turut dilakukan Coalition for Epidemic Preparedness Innovations (CEPI), organisasi yang ditubuhkan pada 2017 bagi membiayai kajian bioteknologi menangani Ebola di Afrika Barat yang membunuh lebih 11,000 orang.
Ketua Pegawai Eksekutif CEPI, Richard Hatchett, berkata sasaran organisasi itu adalah untuk menghasilkan vaksin dan melakukan ujian klinikal dalam tempoh 16 minggu.
Dengan misi untuk mempercepatkan perkembangan vaksin, CEPI telah mengeluarkan jutaan dolar dalam empat projek di seluruh dunia dan menggesa lebih banyak cadangan disuarakan.
Projek itu diharap menggunakan teknologi baharu untuk mencipta vaksin yang boleh diuji pada masa hadapan.
Manakala syarikat biofarmaseutikal Jerman, CureVac dan Moderna Therapuetics yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) sedang menghasilkan vaksin berdasarkan ‘messenger RNA’, iaitu kod genetik arahan supaya tubuh menghasilkan protein bagi membentuk sistem imun badan bagi melawan virus terbabit. – AFP




























