Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Saintis bongkar rahsia glasier cair

    GALTUR, AUSTRIA – Melompat dari batu ke batu di atas serokan yang terbentuk di luar glasier Jamtal di Austria, ahli sains Andrea Fischer risau data saintifik yang bernilai akan hilang tanpa dapat dibalikkan seperti sedia kala ketika ais dan salji mencair lebih cepat berbanding sebelumnya.

    “Saya tidak dapat membayangkan ia akan cair dengan begitu pesat pada musim panas ini. ‘Arkib’ kami semakin lenyap,” kata pakar glasier itu.

    Fischer – penolong pengarah Institut Penyelidikan Pergunungan di Akademi Sains Austria – telah menghabiskan lebih 20 tahun mengkaji Jamtal dan empat glasier Alp lain di seluruh kemuncak tertinggi di Austria untuk mencari kawasan ais paling lama.

    Bagi ahli sains yang berusaha untuk membina semula iklim Bumi era lampau, pembentukan ais sedemikian merupakan kapsul masa unik yang wujud sejak beribu-ribu tahun lalu.

    Glasier mengandungi khazanah data yang amat berharga – ketika data berkembang, ranting dan daun diliputi ais, kini boleh ditentukan usia menerusi kaedah jejak karbon.

    Andrea Fischer (kiri) dan Violeta Lauria daripada Akademi Sains Austria berjalan di Glasier Jamtal berdekatan Galtuer, Tyrol, Austria. – AFP
    Pelancong berjalan di Glasier Fee yang cair di atas resort alp Swiss Saas-Fee. Glasier sedang mencari pada kadar membimbangkan di tengah gelombang panas di Eropah. – AFP
    Gambar menunjukkan pelancong berjalan bersebelahan sungai cairan glasier yang mengalir dari Glasier Tsanfleuron di Les Diablerets, Switzerland. – AFP
    Andrea Fischer dan Violeta Lauria mengukur ketinggian di bahagian bawah pentas ais Glasier Jamtal berdekatan Galtuer, Tyrol, Austria. – AFP

    Dan berdasarkan umur bahan sedemikian dan tempat ia ditemui, saintis boleh membuat kesimpulan bila ais mengembang semasa tempoh yang lebih sejuk, atau apabila keadaan lebih panas menyebabkannya cair.

    Namun sekarang glasier sedang mencair pada kadar amat pesat – termasuk glasier di lembah terpencil dan sempit di Jamtal, tidak jauh dari tempat di mana pelancong menemui mumia awet berusia 5,300 tahun Oetzi, bergelar Iceman, pada tahun 1990.

    Suhu di gunung tertinggi Eropah telah meningkat hampir dua darjah Celsius sejak 120 tahun lalu – hampir dua kali ganda suhu purata global, menurut Suruhanjaya Antarabangsa untuk Perlindungan Alp (CIPRA).

    Kira-kira 4,000 glasier di Alp telah menjadi salah satu petanda paling ketara pemanasan global.

    Glasier Jamtal telah kehilangan kira-kira satu meter permukaannya setahun, namun pada tahun ini ia telah pun kehilangan lebih daripada satu meter, menurut Fischer.

    “Dan kami mempunyai baki musim panas sekurang-kurangnya dua bulan, di mana glasier terdedah sepenuhnya kepada cahaya matahari,” beliau mengingatkan.

    Salji biasanya melindungi kebanyakan ais glasier daripada matahari sehingga September, tetapi salji yang turun pada musim sejuk lalu adalah amat sedikit sehingga ia telah cair pada awal Julai.

    “Tahun ini adalah amat mengejutkan berbanding dengan purata turunan salji sejak 6,000 tahun lalu,” ujar Fischer.

    “Sekiranya keadaan ini berterusan, dalam masa lima tahun, glasier Jamtal tidak akan menjadi glasier lagi.”

    Menjelang akhir musim panas, Fischer bimbang kira-kira tujuh meter glasier akan cair dari permukaan – atau ‘arkib’ iklim berusia kira-kira 300 tahun.

    “Kami memerlukan data yang disimpan glasier untuk memahami iklim era lampau – dan membangunkan model tentang apa yang menanti kami pada masa depan.”

    Fischer dan kumpulannya telah menggerudi di kawasan Jamtal dan glasier lain yang terletak berhampiran untuk mendapatkan data, mengeluarkan sampel ais sehingga 14 meter dalam.

    Ketika suhu naik dan glasier menjadi semakin tidak stabil, saintis terdesak untuk mengambil langkah keselamatan tambahan – 11 orang terbunuh dalam runtuhan ais glasier di Dolomites Itali pada Julai, sehari selepas suhu di sana naik kepada rekod baharu.

    Di Galtuer, kampung paling dekat dengan Jamtal dengan populasi 870 penduduk yang kebanyakannya bergantung pada pelancongan, Alpine Club telah pun menawarkan kunjungan ‘Selamat tinggal glasier!’ di lembah yang dilitupi ais untuk menambah kesedaran mengenai kesan perubahan iklim.

    Di kawasan di mana ais telah cair, saintis mendapati dalam tempoh tiga tahun, kira-kira 20 spesies tumbuh-tumbuhan, kebanyakannya lumut, telah mengambil alih kawasan tersebut.

    Di sesetengah kawasan, tumbuhan konifer boleh ditemui, menurut Fischer.

    “Jika glasier lenyap dalam masa lima tahun, ia sungguh malang, kerana ia membentuk sebahagian daripada landskap,” kata Sarah Mattle, yang mengetuai Alpine Club.

    “Namun juga terdapatnya laluan baharu, dan mungkin terdapatnya jalan pengembaraan yang lebih senang di kawasan pergunungan berbanding di kawasan ais.

    “Ia hanya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri,” tambah wanita berusia 34 tahun itu.

    Penduduk tempatan lain seperti Gottlieb Lorenz, dengan moyang datuknya menjadi pengurus pertama kabin yang terletak di paras 2,165 meter tinggi di Jamtal dan didirikan sebagai pusat penginapan untuk pendaki gunung, berasa sedih.

    “Hati saya rasa pilu apabila saya memikirkan bagaimana glasier yang indah dan mengagumkan sebelum ini telah berubah menjadi timbunan kecil yang menyedihkan,” kata lelaki berusia 60 tahun itu.

    Dia menunjukkan gambar hitam putih yang diambil pada 1882 yang memaparkan lembar ais tebal mengalir melintasi kabin.

    Hari ini, ais berkenaan berada di kawasan yang mengambil masa perjalanan 90 minit. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...