Saintis cipta alat halang hentaman asteroid

RIGA, 2 DIS – Di penjuru kampus Universiti Teknikal Riga, sekumpulan pakar saintis sedang berusaha untuk mencipta teknologi yang mungkin satu hari nanti digunakan untuk menghalang asteroid dari menghentam Bumi.

Alat tersebut diusahakan di sebuah makmal baharu di Latvia, Eventech, yang ketika ini digunakan untuk menjejak satelit.

Tahun ini, syarikat itu memenangi kontrak Agensi Angkasa Eropah (ESA) untuk membina sebuah alat yang akan mengkaji kemungkinan untuk mengalih-kan asteroid sebelum ia menghampiri Bumi.

NASA merancang untuk melancarkan bahagian pertama Impak Asteroid dan misi Penilaian Lencongan (AIDA) – yang dikenali sebagai Ujian Lencongan Asteroid Berganda (DART) – pada 22 Julai 2021 menggunakan roket Falcon 9 kepunyaan gergasi teknologi Elon Musk, Space X.

Alat penyiasatan seberat 500 kilogram yang dilengkapi dengan ka-mera itu akan diterbangkan ke asteroid (Didymos) dalam percubaan untuk menghalangnya daripada memasuki laluan yang dilihat akan melintasi berhampiran Bumi kira-kira tahun 2123.

Alat angkasa lepas Eventech itu dicipta untuk meneruskan misi HERA, yang dirancang untuk dilancarkan lima tahun kemudian, bagi memastikan misi pertama berjaya.

“Teknologi kami akan menyambung kapal angkasa ESA yang kedua diberi nama HERA bagi memastikan impak pertama bagi menghalang Didymos dari laluan sebelumnya bagi mengelak malapetaka bagi semua,” menurut jurutera Eventech, Imants Pulkstenis memberitahu AFP semasa berada di makmal.

“Ia lebih menarik untuk terus meneroka di kawasan belum pernah diterokai berbanding membina sesuatu barangan elektronik kegunaan harian bagi mendapatkan keuntungan besar,” tambahnya.

Alat tersebut juga merupakan sebahagian daripada tradisi teknologi angkasa di negara Baltic sejak zaman Soviet apabila Sputnik – sebuah satelit buatan manusia pertama mengelilingi Bumi – dilancarkan pada 1957. – AFP

Syarikat Eventech sedang berusaha untuk mencipta alat teknologi yang mungkin dapat menghalang asteroid dari menghentam Bumi.- AFP