Saintis cuba ‘pembenihan awan marin’ lindungi Terumbu Sawar Besar

SYDNEY, 17 APRIL Satu cubaan uji kaji ‘pembenihan awam marin’ (cloud brightening) dijalankan di Terumbu Sawar Besar Australia dalam satu percubaan peringkat awal yang saintis harapkan dapat menjadi cara futuristik baharu melindungi terumbu karang daripada pemanasan global.

Dalam cubaan menyejukkan perairan di sekitar terumbu karang dengan membuat awan yang menampan lebih banyak cahaya matahari, penyelidik mengatakan mereka menggunakan bot dipasang dengan kipas yang serupa dengan meriam salji untuk melepaskan hablur garam ke udara.

Keputusan daripada ujian ‘amat memberangsangkan,’ kata ketua projek, saintis Daniel Harrisson dari Universiti Southern Cross hari ini. “Semua penyelidikan adalah teori…maka ini adalah ujian pertama yang cuba mengambil air laut dan menjadikannya sebagai nukleus pemeluwapan awan,” katanya memberitahu AFP.

Harrison menekankan di sebalik kejayaan eksperimen itu, sekurang-kurangnya kajian lanjut selama empat tahun diperlukan untuk membuktikan teori itu. Air laut yang semakin panas akibat perubahan iklim merosakkan kesihatan Terumbu Sawar Besar, sistem terumbu karang terbesar dunia. – AFP

Terumbu Sawar Besar yang mengalami pelunturan teruk akibat pemanasan global. – Agensi