Saintis Iran jadi tebusan AS

TEHRAN, 19 Mei – Amerika Syarikat (AS) telah menahan seorang saintis Iran selama tujuh bulan kerana didakwa cuba menghantar hormon pembesaran, kata media Iran hari ini, memetik abangnya sebagai berkata beliau dijadikan ‘tebusan’.

Beliau merancang membuat kajian selama enam bulan di AS, tetapi ditahan oleh Biro Siasatan Persekutuan di Chicago, menurut agensi berita.

Visa beliau dibatalkan dan beliau dipindah ke penjara Dayton di Atlanta, kata IRNA.

Menurut Press TV Iran, Soleimani dijemput oleh Klinik Mayo, sebuah hospital universiti di Minnesota, untuk menjalankan satu program penyelidikan.

“Berbulan-bulan lamanya kami tidak diberikan jawapan jelas sehingga kami berjaya mendapat tahu di mana beliau dengan mengupah seorang peguam dan mengikut perkembangan beliau,” IRNA memetik abang Soleimani, Rasoul, sebagai berkata.

Ketika kemunculan Soleimani di mahkamah pada 14 Mei, beliau diberitahu beliau didakwa “cuba memindah beberapa ‘bebuli hormon pembesaran’ menerusi dua orang pelajar ke Iran,” beritahu abangnya kepada IRNA.

“Bebuli tersebut tidak tertakluk kepada sekatan dan mempunyai kegunaan perubatan, dakwaan AS yang tidak munasabah telah membingungkan semua orang di dalam dan luar negara,” tambah Rasoul Soleimani.

IRNA berkata Rasoul telah menekankan bahawa “adiknya pasti dijadikan tebusan kerajaan AS.” – AFP