Saintis komuniti Brunei kesan 35 asteroid baharu

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Sebanyak 35 asteroid baharu berjaya dikesan oleh kumpulan saintis komuniti (Citizen Scientist) dari Negara Brunei Darussalam dalam program anjuran Kolaborasi Pencarian Astronomi Antarabangsa (IASC), iaitu program gabungan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Negara (NASA), Amerika Syarikat.

Pengesanan awal asteroid tersebut oleh 30 orang ahli dari enam pasukan di negara ini iaitu Persatuan Astronomi Brunei Darussalam (PABD), Hulubalang Brunei, Laksamana Brunei, Panglima Brunei, Pateh Brunei dan Semaun Brunei telah disahkan dalam laporan-laporan yang diterbitkan oleh IASC, Hardin-Simmons University, hari ini.

Kempen pencarian asteroid IASC dari September hingga Oktober dianjurkan bersama oleh Persatuan Astronomi Nepal (NASO) dengan PABD.

Menurut kenyataan PABD, semasa kempen itu, peserta program dari Brunei dan seluruh dunia berpeluang menggunakan perisian astrometri yang canggih untuk menganalisis gambar dan data langit sebenar yang disediakan oleh teleskop Panoramic Survey Telescope and Rapid Response System (Pan-STARRS) di Hawaii.

Ia melibatkan pemerhatian objek Dekat Bumi dan Lingkaran Utama Asteroid serta melaporkan pengesanan objek-objek tersebut.

Maklumat daripada penemuan awal objek berkenaan akan dikaji lebih lanjut yang akan mengambil masa selama lima tahun untuk menentukan orbit asteroid berkenaan oleh para ahli astronomi profesional.

Pada tahun depan, PABD buat julung kalinya akan menganjurkan kempen Pencarian Asteroid Brunei Darussalam dengan kerjasama IASC bermula Januari 2022.

Kempen berkenaan menawarkan peluang kepada penemuan asteroid baharu oleh penduduk di Brunei selain itu, program berkenaan bertujuan untuk memupuk kemahiran penyelidikan saintifik dengan menganalisis data angkasa yang dikongsikan dari balai-balai cerap di dunia untuk mengesan sebarang asteroid baharu.

Melalui pendekatan itu juga diharapkan akan memberi inspirasi dan meningkatkan minat dalam bidang sains di kalangan masyarakat terutamanya para pelajar.

Pembantu Pengurus Projek Bersama Kempen Pencarian Asteroid Brunei Darussalam, Awang Mohd Qawiem bin Haji Mohd menunjukkan e-sijil penghargaannya yang dikeluarkan atas penglibatannya dalam Kempen Pencarian Asteroid Antarabangsa pada Oktober lalu. – Gambar serahan PABD