Saintis temui cara halang bunyi bising

SINGAPURA, 10 SEPT – Jemu dengan bunyi bingit daripada kerja-kerja pembinaan, kereta api laju dan penggera kereta yang menembusi celah-celah tingkap apartmen kecil anda di kawasan metropolis yang sesak?

Saintis-saintis percaya mereka telah menemui cara bagi penduduk bandar untuk membiarkan udara segar masuk sambil mengurangkan bunyi bingit bandar – dan ia adalah satu alat seperti fon kepala besar yang dapat menghilangkan bunyi bising masuk ke flat anda.

Di bawah peranti sistem di Singapura, 24 pembesar suara kecil dipasang pada gril logam tingkap terbuka untuk mewujudkan apa digelar penyelidik sebagai ‘pelindung akustik’.

Apabila bunyi bising seperti lalu lintas kenderaan atau kereta api bawah tanah dikesan, pembesar suara itu menghasilkan gelombang bunyi yang boleh membatalkan sebahagiannya – sama seperti beberapa fon kepala berteknologi tinggi berfungsi.

Ia seperti ‘menggunakan bunyi bising untuk menghapuskan kebisingan’, kata Gan Woon-Seng, yang mengetuai pasukan penyelidik dari Universiti Teknologi Nanyang di bandar yang kesempitan ruang, di mana ramai yang mengadu bunyi bising telah memenuhi pangsapuri.

Gambar bertarikh 8 September menunjukkan penyelidik dari Universiti Teknologi Nanyang memeriksa tahap bunyi yang masuk menerusi tingkap di sebuah bilik contoh di Singapura. – AFP

Sambil menyekat bunyi bising dari luar, ia juga “membolehkan pengudaraan dan pencahayaan semula jadi menerusi tingkap itu,” katanya kepada AFP, di sebuah makmal di mana sebuah peranti prototaip telah dipasang.

Sistem itu dapat mengurangkan bunyi masuk sekitar 10 desibel, dan berfungsi paling baik pada bunyi kereta api atau kerja-kerja pembinaan – tetapi ia tidak akan dapat menyekat bunyi frekuensi tinggi yang tidak dapat diramalkan seperti anjing menyalak.

Gan berharap sistem itu akan membolehkan orang ramai untuk membiarkan tingkap terbuka bagi pengudaraan semula jadi yang akan mengurangkan penggunaan penghawa dingin yang banyak menggunakan tenaga, dan dapat meningkatkan kesihatan orang ramai dengan mengurangkan kebisingan, yang menyebabkan masalah seperti gangguan tidur.

Sebilangan mungkin menolak idea untuk meletakkan 24 pembesar suara kecil di salah satu gril tingkap mereka, walaupun para penyelidik sedang mengusahakan versi sistem yang tidak menghalang tingkap.

Mereka berharap akan dapat menjual peranti tersebut kepada mereka yang ingin memasangnya pada bangunan kediaman. – AFP