Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saintis temui tengkorak manusia tertua di Eropah Barat

    PARIS, 13 MAC – Eropah Barat kini mempunyai wajah manusia tertua yang baharu selepas saintis menemui tulang muka milik orang dewasa yang diberi nama ‘Pink’ di Sepanyol, dipercayai berusia lebih 1.1 juta tahun.

    Sebelum ini, spesies manusia tertua yang diketahui di Eropah Barat ialah Homo antecessor yang mempunyai wajah lebih langsing dan dianggarkan berusia sekitar 850,000 tahun.

    Bagaimanapun, kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature memperkenalkan “watak baharu dalam sejarah evolusi manusia di Eropah,” kata pengarang utama kajian, Rosa Huguet dari Universiti Rovira i Virgili, Sepanyol, dalam satu sidang media.

    Tulang rahang atas dan sebahagian tulang pipi ‘Pink’ ditemui di tapak arkeologi Atapuerca di utara Sepanyol pada tahun 2022. Sejak itu, sekumpulan saintis Sepanyol giat menjalankan kajian lanjut mengenai ‘Pink’, yang namanya diinspirasikan daripada kumpulan muzik rock progresif, Pink Floyd.

    Tengkorak itu ditemukan pada kedalaman 16 meter dalam lapisan lumpur merah di sebuah tapak yang dikenali sebagai Sima del Elefante atau ‘lubang gajah’.

    Menariknya, lokasi penemuan itu terletak kurang daripada 250 meter dari tempat Homo antecessor iaitu spesies manusia tertua di Eropah Barat sebelum ini yang ditemui hampir dua dekad lalu. – AFP

    Gambar fail bertarikh 18 Oktober 2013 menunjukkan tengkorak yang dipelihara dengan baik dari 1.8 juta tahun lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda