Saintis ubah plastik jadi tenaga

SINGAPURA, 11 DIS – Ahli sains berkata hari ini mereka telah mengemukakan satu kaedah mesra alam yang menggunakan cahaya matahari tiruan untuk mengubah plastik kepada bahan kimia yang menghasilkan tenaga, tatkala negara di seluruh dunia bergelut untuk mengurangkan bahan buangan.

Sejumlah besar plastik telah bertimbun di darat dan dibuang dalam laut di seluruh dunia, dengan negara Asia terutamanya menghadapi kritikan kerana gagal mengatasi masalah tersebut.

Para penyelidik di Singapura berkata mereka telah menukar plastik kepada ‘asid formik’, yang boleh digunakan dalam loji tenaga untuk menghasilkan elektrik, dengan menggunakan katalis yang tidak merosakkan alam sekitar serta tidak menelan kos yang tinggi.

Dalam uji kaji makmal, para penyelidik daripada Universiti Teknologi Nanyang mencampurkan plastik dengan bahan kimia untuk membentuk satu larutan, yang seterusnya boleh diuraikan oleh cahaya matahari tiruan.

Plastik tersebut terurai dalam masa enam hari, dan ahli sains berharap proses berkenaan boleh dijalankan pada masa depan di bawah cahaya matahari sebenar.

Seorang penyelidik daripada Universiti Teknologi Nanyang mencampur plastik dengan bahan kimia untuk membentuk satu larutan, yang boleh diuraikan oleh cahaya matahari tiruan, di Singapura, kelmarin. – AFP

“Kami berjaya menukar plastik, yang sudah tentunya mencemari lautan, kepada bahan kimia berguna,” kata Soo Han Sen, yang memimpin projek penyelidikan dua tahun dan datang daripada Sekolah Fizikal dan Sains Matematik NTU.

“Kami berharap dapat menukarnya kepada proses boleh diperbaharui sepenuhnya yang bersifat neutral karbon.”

Kaedah lain untuk memproses semula plastik biasanya memerlukannya dilebur dengan menggunakan bahan api fosil, yang menghasilkan gas rumah hijau yang merosakkan iklim.

Namun setakat ini hanya sejumlah kecil plastik yang telah ditukar kepada asid formik, dan Soo mengakui terdapatnya cabaran untuk meniru proses berkenaan pada skala lebih besar.

Lebih banyak tenaga manusia dan pembiayaan diperlukan untuk memajukannya, dan setakat ini ahli sains hanya mengujinya pada kepingan plastik asli, bukan pada bahan buangan. – AFP