The Saints, kelab pertama EPL tangguh gaji

LONDON, 10 APRIL – Southampton kelmarin menjadi kelab pertama Liga Perdana Inggeris mengumumkan bahawa pemain mereka akan menangguhkan gaji mereka selama beberapa bulan semasa pandemik koronavirus.

Pengarah kelab berserta pengurus pasukan, Ralph Hasenhuttl dan kakitangannya akan turut mengambil langkah yang sama sehingga bulan Jun.

Liga Perdana Inggeris telah menyeru pemain-pemain untuk mengambil pemotongan gaji sebanyak 30 peratus di seluruh kelab tetapi kesatuan pemain berkata ia akan mendatangkan kesan negatif kepada pengagihan cukai pendapatan kepada perkhidmatan kesihatan Britain.

Pemain-pemain telah melancarkan inisiatif mereka sendiri untuk mengumpul dana bagi membantu perkhidmatan kesihatan secara suka rela.

Southampton berkata dengan penangguhan gaji para pemain untuk bulan April, Mei dan Jun, kelab tidak akan menggunakan skim kerajaan bagi membayar kakitangan lain.

Southampton menjadi kelab EPL pertama untuk menangguhkan gaji pemain selama beberapa bulan. Pengarah kelab berserta pengurus pasukan dan kakitangannya turut mengambil langkah yang sama sehingga bulan Jun. – AFP

Dalam kenyataan, ia berkata kesemua kakitangan kelab yang tidak menangguhkan gaji mereka, akan menerima ’100 peratus gaji mereka’.

Southampton, yang kini tujuh mata di atas zon penyingkiran ketika musim ini ditangguhkan, berkata penangguhan gaji pemain akan ‘membantu menjaga masa depan kelab, kakitangan yang bekerja dan komuniti yang kami berikan khidmat’.

Keputusan pendahulu liga, Liverpool dan finalis Liga Juara-juara tahun lalu, Tottenham Hotspur untuk membenarkan kakitangan untuk bercuti dan menggunakan skim kerajaan telah mencetuskan kemarahan di Britain, meskipun Liverpool segera menarik semula keputusan itu.

Newcastle, Bournemouth dan Norwich, dan kebanyakan kelab liga bawah dari Liga Inggeris berkata mereka telah merayu untuk dana kerajaan.

Lebih 7,000 orang di Britain terkorban semasa pandemik dan Perdana Menteri Boris Johnson masih berada di unit rawatan rapi selepas dijangkiti. – AFP